JOHOR BAHRU: Lapan individu termasuk kanak-kanak 10 tahun ditahan polis selepas mereka dipercayai terlibat dengan aktiviti menunggang basikal lajak secara berbahaya di dua lokasi berbeza di daerah ini pada 15 dan 16 Oktober lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Fariz Ammar Abdullah berkata, mereka yang ditahan berusia antara antara 10 hingga 15 tahun.
“Hasil pemeriksaan dibuat mendapati basikal digunakan mereka telah diubah suai dan tidak mengikut spesifikasi basikal yang selamat.
“Oleh itu, kesemua penunggang basikal yang ditahan dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara untuk tindakan lanjut.
“Soal siat berjaya mendedahkan salah seorang remaja berusia yang 15 tahun berperanan sebagai ‘foreman’ dimana ramai pelanggan datang ke rumahnya untuk membaiki selain membeli alat ganti basikal,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Fariz Ammar turut memberitahu, siasatan lanjut menemui pelbagai komponen basikal lajak di kawasan rumah remaja berkenaan.
“Dalam operasi berkenaan, pihaknya turut merampas lapan buah basikal lajak selain dua buah motosikal yang disyaki digunakan dalam aktiviti berkenaan.
“Polis juga mengeluarkan saman terhadap penunggang motosikal terbabit kerana tidak memiliki lesen memandu,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua penjaga individu yang ditahan telah dipanggil untuk diberi penerangan mengenai bahaya basikal lajak serta kesan jika berlaku kemalangan.
“Polis menasihati ibu bapa atau penjaga agar memantau dan mengambil tahu pergerakan anak-anak mereka terutama ketika bermain basikal lajak agar tidak ada perkara tidak diingini berlaku,” jelasnya.
Penggerak Daily