JOHOR BAHRU: Hari cuti umum sempena ketibaan Ramadan, esok dimanfaatkan orang ramai untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.
Suasana itu dapat disaksikan di Larkin Sentral, di sini apabila premis itu dipenuhi orang ramai sejak pukul 9 pagi.
Salah seorang pengguna, Ahmad Said Sulaiman, 28, memberitahu, dia mengambil kesempatan cuti umum esok untuk pulang ke kampung halamannya di Batu Pahat bagi menyambut ketibaan Ramadan bersama keluarga.
“Saya menetap di Johor Bahru kerana bekerja di sini, jadi bila ada peluang cuti umum seperti esok (1 Ramadan), saya akan pulang untuk bertemu keluarga dan berpuasa bersama.
“Walaupun cuma satu hari, tetapi ia merupakan hari yang istimewa, jadi saya tidak mahu melepaskan peluang itu,” katanya kepada pemberita.
Seorang lagi pengunjung, Siti Rohani Abd. Radzak, 41, pula memberitahu, dia bersama keluarganya akan menyambut ketibaan Ramadan di Kuala Lumpur.
“Selain cuti umum esok, saya dan suami telah mengambil cuti tambahan untuk pulang ke Kuala Lumpur bagi bertemu keluarga sempena Ramadan ini.
“Ini memang rutin tahunan kami, iaitu untuk pulang ke kediaman keluarga bagi berkuasa pada hari pertama, bersama-sama,” katanya yang bekerja sebagai seorang kerani di Skudai, di sini.
Sementara itu, seorang lagi pengguna yang hanya mahu dikenali sebagai Azwan, 35, pula berkata, dia kesal kerana bas ekspres yang sepatutnya dinaiki pada pukul 10.30 dibatalkan kerana rosak.
“Saya sudah mempunyai banyak perancangan bersama keluarga di Tangkak, tetapi bas yang sepatutnya bertolak pada pukul 10.30 pagi tidak sampai sehingga satu jam kemudian, apabila saya tanya mereka maklumkan bas rosak.
“Saya bukan sahaja terpaksa menunggu lama tetapi juga terpaksa menukar perancangan untuk membeli keperluan Ramadan bersama keluarga, agak kecewa juga,” jelasnya.
Penggerak Daily