KULAI: Seorang lelaki ditahan polis petang semalam di Jalan Seelong Jaya, Senai di sini kerana dipercayai menjual pelbagai jenis mercun sempena sambutan Tahun Baharu Cina bernilai RM222,691.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan di sebuah premis rumah kedai pada pukul 4.30 petang.
Menurut beliau, ketika pemeriksaan dibuat, suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen dan telah melanggar syarat lesen yang dibenarkan.
“Selain tangkapan terhadap suspek, polis telah merampas 8,217 unit mercun pelbagai jenis dengan nilai anggaran RM222,691.
“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Beng Yeow, suspek kini dikenakan tahanan reman selama tiga hari sehingga Rabu depan manakala kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Polis Kulai turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah untuk tampil membantu pihak polis dengan menghubungi talian 07-6637222,” jelasnya.
Penggerak Daily