KULAI: Seorang lelaki berusia 58 tahun ditahan kerana mematahkan bendera kempen Barisan Nasional (BN) dalam satu kejadian di Taman Senai Utama, Senai di sini lewat tengah malam, tadi.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, suspek yang ditahan dipercayai dalam keadaan mabuk ketika berbuat demikian.
Menurut beliau, lelaki berkenaan kubu ditahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
“Pada pukul 12.15 tengah malam tadi, anggota polis menerima makluman terdapat seorang lelaki mabuk membuat provokasi dengan mematahkan bendera yang dipasang jentera kempen BN.
“Polis kemudiannya telah menahan suspek yang berusia 58 tahun tersebut dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beng Yeow turut memberitahu, pihaknya Nenasi orang ramai agar tidak membuat sebarang kelakuan jenayah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang sepanjang tempoh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Sementara itu, Calon BN bagi kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon memberitahu, suspek turut bertindak memarahi jenteranya yang sedang memasang bahan kempen tersebut.
“Jentera kempen bukan sahaja dimarah dan dihalang malah bendera yang telah dipasang turut ditanggalkan. Kerana enggan terlibat dengan pertikaian tersebut, jentera kami berundur daripada kawasan berkenaan dan membuat laporan polis berhubung gangguan itu.
“Saya amat kesal dengan perbuatan tersebut yang disifatkan merupakan satu strategi kempen tidak sihat yang tidak sepatutnya berlaku pada masa kini,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Terdahulu, Jurucakap Media PRU15 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, Superintenden Ibrahim Mat Som memaklumkan pihaknya telah membuka dua kertas siasatan berhubung insiden yang berlaku ketika tempoh berkempen bagi PRU15 di negeri ini.
Menurut beliau, kertas siasatan itu melibatkan insiden membakar bunga api dan mercun serta perbuatan khianat merosakkan bendera parti.
“Siasatan pertama dibuat bagi kes sebuah parti yang sedang berkempen kemudian membakar mercun dan bunga api di Buloh Kasap, Segamat, manakala satu lagi siasatan berkaitan khianat merosakkan bendera parti di Kampung Sri Makmur, Plentong.
“Dua kertas siasatan ini dibuka dan disiasat di bawah peruntukkan undang-undang iaitu Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
Penggerak Daily