JOHOR BAHRU: Seorang lelaki mengalami kecederaan luka melecur sehingga 70 peratus di tubuh badannya selepas tong gas LPG di rumahnya meletup di Jalan Teratai 77, Taman Johor Jaya, hari ini.
Komander Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Saifulbahri Safar berkata, pihaknya dimaklumkan kejadian itu berlaku pada pukul 12.45 tengah hari.
Sehubungan itu katanya, seramai 15 pegawai dan anggota beserta empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dan Tebrau dikejar ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian yang merupakan sebuah rumah teras dua tingkat, didapati seorang lelaki berusia 49 tahun cedera dan sebahagian rumah terbakar akibat tong gas LPG telah meletup.
“Api kebakaran berjaya dipadamkan manakala mangsa yang cedera telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Saifulbahri, operasi berkenaan kemudiannya ditamatkan pada pukul 1.41 petang.
Penggerak Daily