JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga emas maut dalam kejadian kebakaran melibatkan tiga buah rumah teres di Jalan Permas 2/4, Taman Permas Jaya, Masai di sini tengah malam tadi.
Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Saiful Bahri Mahpop berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.13 tengah malam.
Sehubungan itu katanya, 33 anggota beserta tujuh buah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, didapati terdapat tiga buah rumah struktur kekal dengan keluasan 20 darab 15 meter masing-masing telah terbakar dengan kerosakan antara 20 hingga 80 peratus.
“Terdapat seorang mangsa yang maut iaitu penghuni kediaman yang paling teruk terbakar, dimana mangsa ditemukan dalam keadaan rentung di tingkat atas kediaman,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Saiful Bahri, empat lagi mangsa dalam kebakaran itu dilaporkan selamat.
“Mangsa yang maut dikenalpasti sebagai Md. Aris Samar, berusia 84 tahun. Pemeriksaan dibuat mendapati dia mengalami kelecuran sehingga 70 peratus di badannya,” jelasnya.
Penggerak Daily