JOHOR BAHRU: Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi membantu serta menyokong program kemasyarakatan yang dilakukan secara berterusan.
Pengerusi LPJ, Rosnan Fathlal berkata, pihaknya berasa terpanggil untuk mengikut langkah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang sentiasa prihatin dengan rakyat berbilang kaum.
“Seperti yang kita maklum, YSIJ sentiasa aktif menyerahkan sumbangan kepada seluruh rakyat Johor setiap minggu.
“Oleh itu, di bawah program LPJ C.A.R.E.S kami ingin turut sama menyumbang seiring dengan objektif kami,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Penyerahan cek sumbangan disampaikan Rosnan kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah YSIJ, Datuk Avinderjit Singh. Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif YSIJ, Fadhly Suffian Laili dan Pengurus Besar LPJ, Kamaruzaman Munasir.
Sementara itu, Avinderjit Singh turut merakamkan penghargaan kepada pihak LPJ di atas sumbangan yang disampaikan.
“Sumbangan ini sememangnya dapat menjayakan hasrat Tuanku Sultan dan YSIJ untuk membantu lebih ramai rakyat yang memerlukan bantuan.
“Pada masa sama, kita juga mengalu-alukan lebih banyak syarikat korporat agar dapat turut memberikan sumbangan kepada YSIJ dalam kita membantu golongan memerlukan,” ujarnya.
Penggerak Daily