JOHOR BAHRU: Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) hari ini menyampaikan sumbangan buah nanas sebanyak dua tan kepada Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang sebagai menghargai kerja keras petugas barisan hadapan negara berdepan pandemik Covid-19.
Pengerusinya, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, pihaknya juga berharap sumbangan itu dapat menyuntik semangat petugas barisan hadapan dalam melaksanakan tugas.
“Sumbangan ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan ‘frontliners’ dalam menghadapi pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sumbangan itu disampaikan pihaknya setelah melakukan kunjungan ke hospital terbabit, hari ini.
Sementara itu, bekas Menteri Besar itu turut menasihati orang ramai agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan norma baharu dalam menjalankan urusan seharian.
“Lebih penting katanya, majikan atau penyelia sektor dalam senarai
perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi perlu sentiasa memastikan pekerja masing-masing dan pelanggan tidak melanggar SOP ditetapkan.
“Kita semua seharusnya mempunyai kesedaran dan lebih bertanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat sekeliling. Ingatlah kita juga mempunyai tanggungjawab sosial dalam meminimakan risiko sekali gus menghentikan penularan jangkitan,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar memakai pelitup muka dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal selain mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap mencuci tangan dan menggunakan ‘hand sanitizer’.
Penggerak Daily