Oleh: Editorial Penggerak Daily
“Sebagai menteri, saya kena minta maaf kerana ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu, saya jawab lurus sangat”, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Saifuddin Abdullah berhubung isu lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan penggiat media baharu.
“Rupanya orang politik tidak boleh lurus (ketika jawab soalan), bila lurus kena pelangkung”, tambahnya lagi ketika berucap merasmikan Bengkel Kemahiran Youtube dan Komuniti Sinema 2020 Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios, di Iskandar Puteri, pagi tadi.
Namun masalah ini dapat diselesaikan dengan cepat, dalam tempoh 20 jam, akui Saifuddin.
“Selepas saya jawab isu itu di Dewan Rakyat, saya berbincang di kabinet sebelum jemaah menteri membuat keputusan masyarakat boleh terus menggunakan Youtube, Tik Tok tanpa perlu memohon lesen.
“Jangan risau, tidak akan kena apa-apa tindakan. Kebebasan itu dijamin sepenuhnya,” katanya.
Semasa berucap, beliau sempat berpesan kepada para youtuber agar terus berkarya dalam memeriahkan industri kreatif tanah air namun wajib pastikan kandungan yang dimuat turun perlulah original, jangan ciplak.
PenggerakDaily