JOHOR BAHRU: Majikan di negeri ini diminta patuh titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan menyediakan waktu solat Jumaat mencukupi bagi pekerja beragama Islam apabila pertukaran cuti hujung minggu dibuat bermula 1 Januari depan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, jika ingkar, tindakan boleh diambil terhadap majikan terbabit.
“Seperti yang telah dititah, kami akan adakan sesi libat urus lebih mendalam dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta pemain industri dan pihak majikan dalam waktu terdekat agar titah ini dapat dilaksana dengan efektif.
“Semua pekerja Muslim perlu diberi ruang dan masa secukupnya untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai orang Islam khususnya waktu solat Jumaat. Oleh itu, pihak industri dan majikan yang tidak beri ruang secukupnya, dijangka akan ada tindakan,” katanya.
Beliaulah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemukan pada program Green Legacy Johor Summit 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon dan Pengerusi Sustainable Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad.
Tambah Ting Han, pertukaran cuti hujung minggu Johor itu disambut baik bukan sahaja oleh golongan pekerja, golongan ibu bapa tetapi juga sektor swasta dan perbankan di negeri ini.
“Pertukaran ini akan meningkatkan produktiviti Johor secara keseluruhan apabila waktu bekerja selari bagi pentadbiran kerajaan dan juga sektor ekonomi dan perbankan dengan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
“Sektor runcit juga akan terima impak positif apabila ibu bapa dapat meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak pada hari cuti Sabtu dan Ahad,” jelasnya lanjut.
Semalam, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar cuti hujung minggu di negeri ini ditukar kembali kepada hari Sabtu dan Ahad, bermula 1 Januari depan.
Titah baginda, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
“Selepas mendapat perkenan dan restu Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, serta mendapat pandangan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), saya ingin mengumumkan bahawa mulai 1 Januari 2025, cuti hujung minggu di negeri Johor akan ditukar kepada hari Sabtu dan Ahad.
“Saya juga menitahkan agar Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Mufti Negeri Johor mengadakan perbincangan dan meneliti perkara ini dari setiap sudut dan aspek,” titahnya.
Pada 2014, cuti hujung minggu Johor telah ditukar kepada Jumaat dan Sabtu susulan titah Sultan Ibrahim yang menitahkan pertukaran cuti itu.
Selain Johor, negeri yang melaksanakan cuti hujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu ketika ini adalah Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Penggerak Daily