Oleh: Editorial Penggerak Daily
Johor Bahru, 29 OKT: Susulan pandemik COVID-19 yang melanda negara, Majlis Konvokesyen Universiti Utara Malaysia (UUM) kali ke-33 yang sepatutnya berlangsung pada November kini dibatalkan, manakala Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjalankan konvokesyen secara janji temu melalui prosedur norma baharu.
Menurut Jabatan Hal Ehwal Akademik UUM, keputusan itu diambil selepas mengambil kira saranan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Ia juga bagi menjaga kesihatan serta keselamatan seluruh warga UUM, termasuk penuntut dan staf pengurusan, selain masyarakat setempat yang tinggal berhampiran kampus induk di Sintok itu”,
Bagi UiTM pula, berikutan terdapatnya perubahan dalam majlis konvokesyen, pengurusan tertinggi universiti itu memberi pengurangan yuran sesi konvokesyen yang akan diadakan secara Janji Temu sebanyak RM40.
Sebelum ini, yuran konvokesyen pada setiap sesi yang dikenakan adalah antara RM150 hingga RM230 mengikut peringkat pengajian. Kini graduan hanya perlu membayar antara RM110 hingga RM190 sahaja.
Penganugerahan diploma dan ijazah secara Janji Temu itu akan diadakan dalam norma baharu yang dijadual semula pada 1 Disember 2020.
PenggerakDaily