JOHOR BAHRU: Majoriti daripada kasut yang dirampas kerana didakwa mempunyai reka bentuk logo mirip kalimah Allah adalah daripada operasi yang dijalankan di negeri ini.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya telah merampas sejumlah 892 pasang kasut berkenaan setelah menyerbu 10 premis jenama itu, di negeri ini semalam.
Menurut beliau, dua laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat di negeri ini.
“Setelah operasi dijalankan, sebanyak 892 pasang kasut yang tertera kalimah berkenaan telah dirampas. Jumlah itu merupakan yang terbesar berbanding rampasan di negeri-negeri lain.
“Tindakan ini diambil untuk membolehkan siasatan dibuat terlebih dahulu. Operasi berkenaan kasut ini di Johor telah diselesaikan, dan keadaan terkawal di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan polis telah merampas sebanyak 1,145 pasang kasut berjenama itu bagi membantu siasatan.
Beliau dilaporkan berkata, rampasan kasut itu dijalankan pihak berkuasa itu di beberapa negeri iaitu Johor, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Kedah.
“Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman akan berurusan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk melihat adakah logo itu mengikut reka bentuk kasut atau melambangkan tulisan khat kalimah Allah.
“Kita telah terima lapan laporan polis berhubung kes ini setakat pukul 7 malam semalam, dan akan memanggil penjual atau syarikat pengeluar kasut untuk membantu siasatan,” ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Terdahulu, tular di media sosial beberapa pengguna mendakwa terdapat kalimah Allah dalam tulisan Arab di bawah tapak kasut yang dibeli mereka sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Penggerak Daily