Oleh: Ahmad Roi
Apa yang lebih hina dari digelar bodoh atau jahat? Saya kira digelar plastik. Bukan kerana harganya 20 sen atau buat isi sampah. Tapi sebab plastik menurut faham melayu generasi lewat 80-an ialah pura-pura – depan lain belakang lain.
Depan nampak baik molek tapi belakang Tuhan saja tahu. Ada sebut hipokrit. Ada sebut munafik. Ingat! Bukan kecil dosa orang munafik.
Walaupun orang lama mempunyai bahasa tepat memerihalkan munafik seperti alim-alim kucing, musang berbulu ayam, pijak semut tak mati serta beberapa yang lain, ‘plastik’ jadi terma pop generasi zaman berkembangnya industri untuk gelar mereka yang depan lain belakang lain ini.
Plastik dianggap sebagai suatu bahan ajaib ketika pertama kali dicipta pada 1907 – ringan, mudah dibentuk, tahan suhu dan pakai buang. Kelebihan plastik boleh jadi apa saja – kerusi, meja, cawan, beg, bekas, almari, mainan, pintu dll. Pengeluaran besar-besaran plastik bermula pada tahun 1950-an.
Menurut kajian Jurnal Science Advances, kira-kira 8.3 bilion tan produk berasaskan plastik dihasilkan sehingga kini.
Tapi, kenapa Melayu generasi akhir 80-an gelar hipokrit/munafik sebagai plastik? Apa ceritanya?
Saya kira begini, Pada awal 80-an, Malaysia berkembang sebagai negara perindustrian. Pesatnya perindustrian menjadikan Malaysia salah satu negara pengeksport utama produk plastik.
Contoh produk yang dieksport seperti pinggan, bekas plastik, filem, dan macam-macam. Destinasi utama eksport termasuk China, Kesatuan Eropah, Singapura, Hong Kong, Thailand dan Jepun.
Industri plastik Malaysia telah diberi penarafan sebagai antara yang paling kompetitif di Asia. Sehingga kini, dikatakan lebih 1450 syarikat yang beroperasi sebagai pengeluar produk berasaskan plastik di Malaysia.
Perindustrian dan proses urbanisasi jadikan orang Malaysia berjinak-jinak dengan plastik. Dulu bunga disiram bagi nampak segar. Tapi bila plastik boleh jadi bunga, bunga plastik jadi pilihan. Cukup dengan lap bagi buang habuk. Tidak perlu lagi siram, gembur tanah, bubuh baja atau hal temeh remeh melayan benda hidup.
Bunga plastik lebih mudah dijaga, tahan lama, anti layu dan anti gugur. Sangat sesuai dengan cara hidup urban waktu itu. Menjelang raya bunga plastik laku keras.
Hipokritnya plastik terlihat pada bunga plastik. Bunga plastik nampak sempurna dan kekal segar. Jangka hayatnya lama, bahkan lebih lama dari manusia.
Untuk pengetahuan am, plastik memerlukan masa kira-kira 1,000 tahun untuk mengurai. Plastik akan mereput perlahan-lahan tapi tidak hilang sepenuhnya. Kepingan halus plastik (mikro plastic) berupaya merosak ekosistem alam terutamanya lautan/sungai, tempat biasa plastik dibuang.
Penyelidikan Jenna Jambeck University of Georgia pada 2015 mendedahkan sebahagian besar plastik di lautan bukan yang dibuang dari kapal tetapi sebaliknya berpunca daripada perbuatan manusia yang membuang sampah sewenang-wenangnya di merata tempat di darat dan sungai – terutama di negera Asia dan Negara Sedang Membangun.
Pada tahun yang sama juga, statistik yang dibentangkan Jurnal Sains melaporkan Malaysia menghasilkan hampir satu juta tan sisa plastik yang tidak dilupuskan atau dikitar semula. Dijangkakan, menjelang 2050, semua makanan laut tercemar dengan plastik.
Pada masa ini, terdapat lebih daripada 170 juta tan plastik di laut dan sesetengah daripadanya dimakan oleh ikan yang menjadi hidangan kita.
Lihat, betapa durjananya plastik. Walau kelihatan macam bunga, tapi zatnya hanya sampah mati. Tidak cukup kalau yang dilawan hanya straw!
Itulah kira-kira kenapa generasi lewat 80-an gelarkan yang munafik sebagai plastik. Plastik jadi kata kesat, mungkin juga akibat dendam kerana jadi generasi awal makan “ketupat” rebus dalam bunjut plastik.
* Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Penggerak Daily