Oleh: Editorial Penggerak Daily
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan retorik dan provokatif yang memfitnah agama Islam sebagaimana yang dapat disaksikan dunia baru-baru ini menerusi ucapan populis serta penerbitan karikatur yang menggambarkan Nabi Muhammad”, kata Menteri Luar Negeri, Hishammuddin Hussien.
Hishammuddin berkata demikian susulan tindak balas dan kemarahan dunia Islam terhadap kenyataan terbuka Presiden Perancis Emmanuel Macron mengenai hak untuk menyiarkan karikatur Nabi Muhammad yang dianggap sebagai menghina Islam.
Menurut Hishammuddin lagi dalam satu kenyataan semalam, Malaysia menjunjung hak kebebasan bersuara serta hak asasi manusia selagi mana ia digunakan secara bertanggungjawab.
“Dalam konteks ini, mencemarkan serta mengecam Nabi Muhammad yang dianggap mulia dalam Islam dan mengaitkan Islam dengan keganasan telah melangkaui batas hak tersebut”.
“Sebagai negara Islam yang demokratik dan sederhana, Malaysia akan terus memperjuangkan dan mengekalkan hubungan damai dengan masyarakat global yang majmuk”,
“Malaysia akan bekerjasama dengan komuniti antarabangsa demi meningkatkan amalan saling menghormati antara setiap agama serta mencegah ekstremisme”, tambah Ahli Parlimen Sembrong ini lagi.
PenggerakDaily