JOHOR BAHRU: Kerajaan Malaysia didesak untuk segera mengadakan rundingan dengan Singapura untuk membuka sempadan antarabangsa kedua-dua negara dengan segera bagi membolehkan pergerakan rentas sempadan dibuat secara menyeluruh.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu merupakan antara manifesto yang dibuat Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.
Menurut beliau, hal itu penting kerana situasi unik ekonomi negeri ini khususnya di selatan Johor amat bergantung kepada pembukaan sempadan antarabangsa tersebut.
“Johor Bahru dan masyarakat sekitarnya sangat memerlukan pembukaan segera tambak Johor dan Lintasan Kedua kerana bandar raya ini telah menjadi lesu dan malap semenjak dua tahun lalu tanpa sebarang aktiviti ekonomi aktif dan pergerakan rentas sempadan.
“Lihat sahaja pusat beli belah serta kedai sekitar bandar raya ini, tiada impetus dan rangsangan ekonomi dapat memulihkan Johor Bahru, malah Johor keseluruhannya tanpa pembukaan sempadan kedua-dua negara.
“Hal ini kerana kedudukan unik negeri hujung medini ini yang sangat bergantung kepada ekonomi rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah bekas Menteri Besar Johor itu lagi, beberapa langkah awalan untuk memulihkan ekonomi negeri ini telah dimulakan namun ia berjalan dengan sangat perlahan dan ia mesti dipercepatkan.
“Apa lagi kaedah yang logik dan perlu untuk kerajaan dan rakyat Malaysia lakukan bagi menyelesaikan situasi pandemik ini. Berkurung sudah, bervaksin sudah, booster sudah, malahan Prosedur Operasi Standard pun sudah. Semuanya telah rakyat lakukan dengan kepatuhan.
“Namun hidup harus diteruskan. Ada masa depan untuk dibina, ada mulut perlu disuap, ada cita-cita ingin dicapai dan semua itu tidak boleh ditewaskan dengan virus Covid-19 ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan anggota kabinetnya akan segera melakukan apa yang sepatutnya untuk pembukaan sempadan ini demi kelangsungan hidup rakyat, perniagaan dan pelaburan.
“Johor mesti melupakan ‘the new normal’. Ia mesti kembali kepada ‘the usual life’ yang sesuai, selari dan seiring fitrah manusia sebagai mahluk sosial,” jelasnya.
Penggerak Daily