Keputusan Persidangan Semula Sesi Ke-63 Suruhanjaya Dadah Narkotik di Vienna kelmarin, tidak mengubah status kawalan kanabis dan semua bahan-bahan berkait dadah itu dalam negara ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata persidangan itu bersetuju menerima usul untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen Tunggal Mengenai Dadah Narkotik 1961 pindaan Protokol 1972 (Konvensyen 1961).
“Kanabis dan bahan-bahan berkait kanabis kekal dikawal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 di mana tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan undang- undang ini seperti sedia ada.
“Bagi peringkat antarabangsa, keputusan Suruhanjaya Dadah Narkotik tersebut untuk menggugurkan kanabis dan resin kanabis dari Jadual IV Konvensyen 1961 juga tidak melonggarkan kawalan antarabangsa terhadap kanabis kerana ia masih kekal dikawal ketat di bawah Jadual I Konvensyen 1961,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Malaysia akan terus komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global.
“Sebagai ahli dalam ketiga-tiga Konvensyen Dadah Antarabangsa iaitu Konvensyen 1961, Konvensyen Mengenai Bahan
Psikotropik 1971 dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Perdagangan Haram Dadah Narkotik dan Bahan Psikotropik 1988 kekal komited untuk membanteras jenayah narkotik di peringkat domestik serta global,” katanya.
Sumber: Malaysiapost