JOHOR BAHRU: Malaysia tidak perlu keluarkan peta sempadan maritim negara baharu susulan tindakan Filipina mengeluarkan peta baharu yang menyaksikan pertindihan dengan kawasan maritim negara di Laut China Selatan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, tindakan mengeluarkan peta baharu menunjukkan terdapat perubahan, sedangkan peta Malaysia tiada sebarang perubahan.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan peta rasmi yang dikeluarkan Malaysia masih terpakai sehingga hari ini.
“Peta kita tidak berubah, yang berubah adalah peta mereka (Filipina), mereka ubah sempadan peta dan memasuki kawasan kita, peta kita tetap peta kita.
“Sehubungan itu, kita akan tetap pertahankan kawasan negara dan kedaulatan kita melalui saluran diplomasi mengikut undang-undang antarabangsa,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serahan Zakat Wakalah Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd. (BHPetrol) di Masjid Muhajirin, Masai, di sini hari ini.
Mohd. Khaled bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakan Filipina bukanlah satu bentuk serangan terhadap Malaysia sebaliknya hanya melibatkan isu pertindihan kawasan.
“Semua mesti faham ini bukan satu serangan daripada sebuah negara kepada negara kita, ia hanya melibatkan soal tuntutan bertindih jadi pendekatan kita guna adalah berdiplomasi.
“Selagi boleh berbincang dan berunding, kita akan gunakan pendekatan mengikut undang-undang antarabangsa. Bagi menunjukkan itu kawasan kita, kita akan lakukan ‘show of presence’ dan ‘maritime domain awareness’ di kawasan tersebut,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan pihak berkuasa sentiasa mengadakan rondaan secara bersepadu antara Tentera Laut, Tentera Darat dan juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
“Kita lakukan rondaan berasaskan keupayaan dan aset yang dimiliki termasuklah penggunaan radar. Jadi sekiranya ada kapal negara asing memasuki perairan negara kita akan tahu.
“Kita juga lakukan protes dan bantahan terhadap tindakan tersebut, tetapi semua tindakan itu menggunakan saluran undang-undang,” jelasnya.
Penggerak Daily