JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat sehingga tiga kali ganda berbanding malam semalam apabila seramai 3,612 mangsa kini ditempatkan di 35 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh Johor.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr. Azmi Rohani memaklumkan, mereka yang terjejas terdiri daripada 1,014 keluarga.
Menurut beliau, lima daerah terjejas akibat banjir iaitu Segamat, Mersing, Kluang, Kota Tinggi dan Batu Pahat.
“Segamat menjadi daerah terjejas teruk akibat banjir dengan seramai 1,392 penduduk terjejas akibat banjir yang ditempatkan di 13 buah PPS dibuka di daerah berkenaan.
“Ini diikuti dengan daerah Kluang iaitu seramai 1,139 mangsa; Kota Tinggi (557 mangsa); Mersing (403 mangsa) dan Batu Pahat (121 mangsa),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, antara kawasan yang terjejas di Segamat termasuk Kampung Pekan Air Panas, Kampung Sungai Gatom, Labis; Kampung Paya Merah, Segamat Kecil, Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Tenang, Kampung Lembah Bakti dan Kampung Usaha Jaya.
Sementara itu, di Kluang, antara kawasan terjejas adalah Kampung Bentong, Kampung GSA Chamek, Kampung Tengah Dalam dan Kampung Muhibbah, Paloh.
“Antara PPS yang dibuka di seluruh negeri ini termasuklah PPS Dewan Kampung Baru Sungai Mas; Dewan Pusat Banjir Jakoa; Dewan Serbaguna Pekan Air Panas; Dewan Komuniti Tasek dan Kompleks Taman Negara Endau Rompin,” ujarnya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia masih meletakkan sebahagian besar negeri ini di bawah Amaran Hujan Berterusan iaitu bahaya khususnya di daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru.
“Tiga sungai di negeri ini masih diletakkan dikategori bahaya iaitu Sungai Muar di muara Sungai Gemas dan Sungai Segamat di Segamat kecil serta Sungai Kahang di Kampung Contoh.
“Dalam pada itu, empat jalan telah ditutup sementara akibat dinaiki air iaitu Jalan Ladang Siang di Kota Tinggi; Jalan Senai-Gemas dan Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat serta Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai akibat tanah runtuh,” jelasnya.
Penggerak Daily