JOHOR BAHRU: Kesemua isi rumah melibatkan 176 kediaman yang terjejas akibat kejadian ribut di Kampung Melayu Majidee, di sini semalam akan menerima bantuan berjumlah RM3,000.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peruntukan segera itu bertujuan untuk meringankan beban mangsa-mangsa yang terjejas dengan bencana berkenaan.
“Saya berkesempatan turun ke kawasan berkenaan bagi menziarah dan mendengar rintihan mangsa yang terlibat serta melihat tahap kerosakan.
“Justeru, kerajaan negeri bersetuju meluluskan peruntukan segera bagi setiap isi rumah terjejas melalui Majlis Agama Islam Negeri Johor sebanyak RM1,000; Yayasan Bandaraya Johor Bahru (RM1,000) dan Pejabat Menteri Besar Johor (RM1,000),” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melawat beberapa kediaman penduduk yang terjejas akibat kejadian ribut yang berlaku, petang semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor, Mohd. Hairi Mad Shah serta Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor.
Sementara itu, Ahli Lembaga Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar memberitahu, peruntukan tersebut bertujuan untuk menyelesaikan keperluan jangka masa pendek penduduk yang terjejas.
“Data penerima yang layak akan disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum peruntukan boleh disalurkan.
“Kita berharap peruntukan ini dapat diagih segera, selewat-lewatnya minggu depan,” tambahnya.
Penggerak Daily