Sungguhpun masyarakat dan negara kini telah mencapai tahap kehidupan moden dengan kepesatan penggunaan teknologi menjangkaui tahap kemampuan manusia, namun isu kebersihan dalam kalangan komuniti masih lagi kekal sebagai suatu “isu” yang tidak selesai. Masalah sampah dan kebersihan bukan sahaja menjadi satu tanggungjawab setiap individu dan pihak-pihak terbabit, tetapi telah menjadi suatu tradisi yang digalas dari satu generasi bertemu generasi.
Melalui suatu kajian statistik yang disokong oleh KPKT, Malaysia menghasilkan kira-kira 13.5 juta tan metrik sampah setiap tahun dan dijangkakan bilangan ini akan meningkat tahun demi tahun manakala mengikut kiraan harian pula, purata sepanjang 2019, rakyat Malaysia menghasilkan hampir 37,890 tan sisa setiap hari.
Isu pengumpulan sampah ini merangkumi kesemua jenis sampah yang terhasil samada daripada punca hasil proses individu mahupun daripada kerja-kerja industri. Malahan, konotasi kebersihan ini juga luas dan merupakan suatu isu bersifat rantaian yang secara langsung melibatkan aspek budaya, kesihatan, ekonomi dan juga politik.
Apatah lagi pada tempoh PKP yang lalu, aktiviti duduk di rumah sahaja turut menyumbang kadar pembuangan sampah yang agak tinggi jika tidak diurus dengan baik. Seperti yang kita sedia maklum, dalam tempoh PKP, aktiviti masyarakat berubah ke norma baru dari budaya patuh SOP ke aktiviti duduk dalam rumah. Antaranya, masyarakat lebih aktif masak di rumah, membuat atau menerima tempahan penghantaran makanan siap dari luar juga, serta aktiviti pembelian barang di atas talian juga meningkat.
Aktiviti-aktiviti tersebut secara tidak langsung jelas mengalakkan kepada penggunaan bahan-bahan yang kemudiannya bakal menjadi “sampah” yang penyumbang kepada penambahan statistik 37,890 tan sampah sehari.
Melalui dapatan maklumat dari Prof Madya Dr. Haliza Abdul Rahman, rakyat Malaysia membazirkan hampir 8000 tan makanan setiap hari bersamaan jumlah makanan yang boleh diberi kepada 7 juta orang sehari (lengkap 3 kali hidangan dengan purata saiz 1 hidangan 0.45kg) lantas menjadikan makanan ialah komposisi “sampah” tertinggi iaitu 45 peratus daripada sisa pepejal di tapak pelupusan sampah seluruh negara.
Lantas hal ini membimbangkan apabila terdapat kes-kes baru mengenai jangka hayat beberapa tapak pelupusan sisa pepejal di beberapa negeri termasuk Melaka dan Johor telah mencapai situasi yang kritikal akibat peningkatan sisa makanan yang diterima mencecah 16,650 tan sehari malah berkemungkinan lebih.
Terkini, menurut SWcorp, tapak pelupusan sampah di Sungai Udang yang dijangka bertahan pada tempoh 5 tahun berdepan dengan risiko lebih cepat dengan kadar mampu bertahan pada tempoh 3 tahun sahaja kerana kawasan semakin sesak dan tenat. Begitu juga dengan tapak pelupusan sampah di Bukit Tegar dengan jangkaan tempoh bertahan selama 50 tahun berdepan dengan risiko lebih cepat berbanding kadar jangka waktu untuk menampung keperluan semasa.
Sungguhpun kesedaran terhadap pengasingan sisa pepejal melalui kempen kitar semula dan guna semula bahan telah sedia maklum, isu sampah plastik masih bermasalah dan data terkini meletakkan Malaysia sebagai negara hub untuk sampah plastik. Melalui kajian WWF, Malaysia, Malaysia adalah negara kedua terbesar di rantau Asia dengan purata penggunaan plastik 16.78kg/individu.
Masalah kepada sampah jenis bahan plastik memberi kesan dari segi aspek persekitaran ekosistem dan kesihatan manusia. Sebagai contoh, kandungan dalam bahan plastik seperti plastik berwarna merah, oren, dan kuning mengandungi bahan kimia berbahaya yang dipanggil kadmium. Impak pendedahan jangka masa panjang ke atas bahan kimia jenis kadmiun boleh memberi kesan kepada kerosakan buah pinggang dan tulang jika proses penghapusan tidak diselenggara dengan baik dan terkawal.
Rentetan daripada isu pengawalan sampah dan cara lupus yang tidak terkawal secara langsung memberi kesan kepada mutu kehidupan dan gaya hidup masyarakat. Selain dari terdedahnya kepada bahan kimia yang memberi kesan jangka masa panjang kepada kualiti kesihatan manusia, kes denggi juga antara penyumbang terbesar akibat daripada kegagalan kesedaran mengendalikan sampah.
Terkini, pada Julai, 2020 di Johor telah mencatatkan jumlah kematian sebanyak 20 kematian akibat kes denggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar, R.Vidyananthan memaklumkan sebanyak 5,107 kes demam denggi dilaporkan hingga 27 Jun 2020.
Justeru hal ini membimbangkan kerana pembawakan penyakit denggi adalah jenis penyakit yang boleh dicegah melalui kesedaran masyarakat untuk ambil peduli, dan jika perkara ini tidak terkesan dalam kalangan masyarakat, maka kes denggi pada masa akan datang akan terus meningkat.
Namun, dalam longgokan sampah ini, apakah kita sedar betapa bahayanya persekitaran kita yang tercemar hanya kerana sikap sambil lewa dan tidak bertanggungjawab segelintir masyarakat? Lebih malang lagi, sikap sambil lewa kita akhirnya memberi kesan kepada generasi akan datang.
PenggerakDaily