ISKANDAR PUTERI: Cubaan seorang pemandu lori membawa masuk makanan haiwan seberat 16,000 kilogram (kg) dari Singapura ke negara ini melalui Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah, di sini berjaya dipatahkan.
Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor dalam satu kenyataan memberitahu, keseluruhan makanan haiwan itu dianggarkan bernilai RM326,390.
Menurut beliau, pihaknya mengesan cubaan tersebut ketika pemeriksa dibuat pada pukul 3.30 petang, semalam.
“Semasa pemeriksaan dibuat, penguatkuasa mengesan sebanyak 640 guni makanan haiwan dengan pembungkusan 25 kilogram setiap guni dengan berat keseluruhan 16,000 kg yang bernilai RM326,390.
“Hasil pemeriksaan mendapati makanan haiwan tersebut dibawa masuk tanpa mengemukakan Permit Import MAQIS yang sah, sehingga itu kesemua barangan itu ditahan untuk tindakan lanjut.
“Sementara itu, pemandu lori yang merupakan seorang lelaki warganegara tempatan dan berusia 46 tahun telah dibebaskan selepas keterangannya diambil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah kenyataan itu, perbuatan mengimport produk pertanian tanpa permit import MAQIS merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.
“Jika disabit kesalahan, boleh dikenakan didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
“MAQIS komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian dengan mematuhi syarat serta peraturan ditetapkan bagi memastikan biosekuriti makanan negara sentiasa terkawal,” jelasnya.
Penggerak Daily