Oleh: Editorial Penggerak Daily
Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Kelab Kebajikan Masyarakat Gemilang Kuala Lumpur (Kelab Gemilang) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) hari ini.
MoU ini bertujuan menjana peluang kerjaya dan keusahawanan bagi belia melalui program-program pembangunan modal insan yang dianjurkan oleh MARii.
Melalui kolaborasi strategik ini, kedua-dua pihak bakal bekerjasama dalam merekrut calon pekerja serta mempromosikan program-program MARii yang dirangkum khas untuk meningkatkan keupayaan para peserta, melalui peningkatan kerjaya mahupun keusahawanan.
“Pelatih yang melalui program-program MARii dapat memilih hala tuju kerjaya berdasarkan minat, keupayaan, dan perancangan masa depan masing-masing.”, kata Dato’ Madani Sahari, Ketua Eksekutif MARii.
Beliau juga berkata bahawa dengan kerjasama Kelab Gemilang, akses kepada program-program ini akan diperluaskan untuk memanfaat semua lapisan masyarakat bagi tujuan meningkatkan daya saing, kemahiran, dan kecekapan tenaga kerja negara.
Di samping itu, kesemua pihak berkolaborasi akan diberi latihan dan bimbingan daripada MARii bagi membantu dalam melaksanakan program-program pembangunan modal insan ini. Inisiatif tersebut akan meningkatkan kapasiti tenaga pengajar dalam usaha untuk memperluaskan pelaksanaan program-program tersebut.
Dalam Kerjasama ini, pihak Kelab Gemilang akan memainkan peranan untuk meluaskan capaian program dan Latihan MARii kepada golongan belia terutamanya daripada sektor-sektor strategik seperti Automotif, Robotik, dan IoT. Misi ini menjadi lebih penting selaras persiapan negara menghadapi Revolusi Industrial 4.0 yang akan melanda dunia tidak lama lagi.
Program-program ini akan menggunapakai fasiliti dan perkhidmatan yang sedia ada di MARii, termasuk Akademi Teknologi MARii di Rawang.
Pelatih akan diberi peluang untuk berkecimpung di dalam bidang teknologi Industri 4.0 seperti Analisis Data Raya, Kecerdasan Buatan, dan Internet of Things (IoT) serta aplikasi sistem-sistem digital bagi pengurusan perniagaan, kewangan dan pemasaran.
Upacara pemeteraian MoU berlangsung di ibu pejabat MARii, Cyberjaya dan dihadiri oleh YB Dr. Afif Bahardin (ADUN Seberang Jaya), YB Tuan Muhammad Hilman bin Idham (ADUN Gombak Setia), Dato’ Ts. Madani Sahari, Ketua Pegawai Eksekutif MARii, En Azhar Taib, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MARii, dan Encik Nai’m Brundage, Presiden Kelab Gemilang.
PenggerakDaily