JOHOR BAHRU: Empat pemancing berdepan detik cemas apabila bot dinaiki mereka mengalami kerosakan pada bahagian enjin ketika sedang memancing di perairan Pulau Merambong, dekat sini petang semalam.
Pengarah Maritim Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.59 petang.
Katanya, panggilan kecemasan itu dibuat oleh salah seorang pemancing yang terlibat.
“Salah seorang mangsa, Anuar Yusof, 30, membuat panggilan kecemasan selepas mendapati enjin bot dinaiki mereka mengalami kerosakan pada kedudukan 0.2 batu nautika tenggara Pulau Merambong.
“Panggilan kecemasan dibuat pada pukul 4.59 petang, sebelum sebuah Bot Kilat 18 milik Maritim Malaysia dikejar ke lokasi sebelum tiba kira-kira 20 minit kemudian,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Nurul Hizam, ketika pihaknya tiba di lokasi, keempat-empat mangsa didapati dalam keadaan selamat dan sedang memakai jaket keselamatan.
“Berdasarkan siasatan, keempat-empat mangsa keluar memancing dari Jeti Kampung Pendas di sini pada pukul 12 tengah hari.
“Enjin bot berkenaan bagaimanapun gagal dihidupkan ketika mereka mahu bergerak, sebelum mereka terus membuat panggilan kecemasan menerusi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan,” ujarnya.
Bot mereka kemudian ditunda oleh sebuah bot lain sambil diringi Bot Kilat 18 ke Jeti Kampung Pendas dan tiba pada pukul 7.06 petang.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti laut dan memastikan bot dalam keadaan baik.
Sekiranya berlaku kecemasan, boleh menghubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor iaitu 07-219 9404 atau talian kecemasan MERS 999.
Penggerak Daily