Categories
Berita

MARKAS HIZBUT TAHRIR MALAYSIA AKAN DIGEMPUR

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) untuk menggempur markas gerakan Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya telah mengenal pasti seramai 45 individu daripada 80 pengikut yang masih bergiat aktif dalam gerakan itu di negeri ini.

Katanya, antara yang telah dikenalpasti termasuklah ketua HTM Johor, iaitu Salahudin Mashuri.

“Saya akan berkolaborasi dengan Jabatan Agama dalam sedikit masa lagi walaupun sekarang bukan dalam bidang kuasa polis, namun saya akan pastikan Jabatan Agama mengambil tindakan tegas.

“Selama ini sekiranya Jabatan Agama mengadakan operasi pun memang kita (polis) akan bantu. Ini bagi memastikan tiada sebarang tindak balas daripada ahli gerakan itu berlaku.

“Sehubungan itu, kita akan gempur pusat gerakan ini di Skudai, saya akan bantu JAINJ untuk gempur, tunggu dan lihat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Semalam, gerakan HTM mengeluarkan satu kenyataan menerusi laman web rasmi mereka menafikan dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi dan Ayob Khan bahawa gerakan itu bercanggah dengan ajaran Islam di negeri ini.

Tambah Ayob Khan, pihaknya selagi lagi memberi amaran sekiranya gerakan itu melangkaui garisan keselamatan, polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka.

“Ciri-ciri yang ditunjukkan gerakan ini sama seperti gerakan pengganas Daesh. Cuma mereka angkat senjata, yang ini (HTM) belum lagi.

“Kerana itu polis akan bekerjasama dengan Jabatan Agama bagi menangani gerakan dan jangan biarkan mereka berkembang,” ujarnya.

Sementara itu, Ayob Khan turut meminta masyarakat Islam khususnya di Johor untuk menghormati fatwa berkaitan agama yang telah dikeluarkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ).

“Sebagai umat Islam di negeri ini, wajib patuhi fatwa yang telah dikeluarkan dimana ia mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Sekiranya ada ahli HTM yang mendakwa kenyataan saya sebagai fitnah, mereka perlu merujuk kembali risalah dan majalah yang dikeluarkan pihak mereka sendiri, antaranya melabelkan negara Islam moden sebagai kufur dan memerangi sistem demokrasi,” tambahnya lagi.

Selain Johor, beberapa negeri lain turut mengeluarkan fatwa HTM bercanggah dengan ajaran Agama Islam antaranya Selangor, Pahang, Sabah, Pulau PinangNegeri Sembilan.

Antara negara antarabangsa yang turut menolak fahaman gerakan itu termasuklah Jordan, Turki, Bangladesh, Pakistan, Arab Saudi, Rusia, Tunisia, Syria dan Kazakhstan.

Penggerak Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *