JOHOR BAHRU: Kesalahan gagal mempamerkan tanda harga terhadap barangan jualan kekal menjadi kesalahan utama yang dilakukan golongan peniaga di negeri ini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, perkara itu dikesan pihaknya menerusi pemantauan dan operasi yang dijalankan pihaknya secara berkala.
Sehubungan itu,, tindakan tegas mengikut undang-undang akan diambil sekiranya peniaga terus berdegil walaupun nasihat dan advokasi dibuat.
“Kita ada rekod peniaga-peniaga yang buat kesalahan ini secara berulang, sekiranya mereka masih berdegil dan gagal pamer tanda harga kita akan ambil tindakan. Tiada maaf bagimu, ini sebagai pengajaran kepada semua.
“Apabila disoal siasat, banyak alasan diberi seperti barangan baru sampai, tidak sempat pamer tanda harga atau pekerja asing tidak faham prosedur, tetapi itu bukan alasan.
“Sebaliknya pemilik syarikat yang merupakan warga tempatan, pihak majikan perlu mendidik pekerja untuk sentiasa mempamerkan tanda harga bagi memudahkan pengguna membuat pembelian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pemantauan terhadap bekalan dan harga barangan di pasar raya KipMall Tampoi, di sini hari ini.
Tambah Lilis lagi, pihaknya akan mengadakan operasi secara bersepadu dengan agensi berkaitan seperti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan undang-undang negara dikuatkuasa.
“Kita fokus dan komited dalam menguatkuasakan akta-akta di bawah punca kuasa KPND, namun apabila melibatkan warga asing, kita akan bekerjasama dengan agensi terlibat untuk menjalankan operasi bersepadu,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, berdasarkan tinjauan dibuat, masih terdapat ramai dalam kalangan peniaga yang tidak mempamerkan tanda harga sehingga ditegur penguatkuasa KPDN.
Selepas teguran dibuat, baharu pekerja premis berkenaan mengeluarkan kertas dan pen untuk menulis dan meletakkan tanda harga terhadap barangan jualan mereka.
Penggerak Daily