ISKANDAR PUTERI: Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) memperuntuk RM168,000 untuk melaksana 14 projek komuniti menerusi Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 1.0 yang mana ianya selari dengan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Puteri 2025.
Menurut Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad, projek itu dilaksanakan dengan kerjasama Universtiti Teknologi Malaysia (UTM); Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA); Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment)
Menurut beliau, inisiatif itu juga merupakan satu strategi pihaknya melibatkan teras Kelestarian Alam Sekitar di bawah Pelan Pembangunan Mampan Johor 2030.
“Program yang julung kali diadakan di Johor itu bertujuan membimbing, menggalak dan mengembangkan usaha komuniti dalam membudayakan amalan rendah karbon di kawasan Iskandar Puteri.
“Sebanyak 64 permohonan disaring kepada 14 projek komuniti bernilai antara RM7,000 hingga RM15,000 dengan berteraskan empat komponen utama iaitu kesukarelawanan dan penglibatan komuniti, pendidikan kesedaran awam dan gaya hidup sihat, infrakstruktur hijau serta pengurusan sisa mampan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, seramai 50,932 penduduk Iskandar Puteri di bawah kategori kediaman bertanah dan bertingkat serta institusi telah menjayakan Pertandingan Kalendar Iskandar Puteri Rendah Karbon 2021 pada tahun ini melalui usaha penjimatan air, elektrik dan perlaksanaan aktiviti kitar semula di premis masing-masing bermula dari bulan Januari hingga Julai 2021.
Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim pula memberitahu, kejayaan pelaksanaan program itu memerlukan penglibatan semua peringkat masyarakat, agensi kerajaan dan swasta untuk menyokong pembangunan rendah karbon di Iskandar Malaysia.
“Melalui geran ini, IRDA berbesar hati untuk berkolaborasi dalam mengubah corak pemikiran, meningkatkan kesedaran dan menerapkan gaya hidup rendah karbon melalui penjimatan air dan elektrik dan pengurangan sisa di kalangan orang ramai.
“Inisiatif bersama ini akan dapat membantu Iskandar Malaysia menjadi wilayah rendah karbon melalui pengurangan perlepasan karbon intensiti sebanyak 58 peratus untuk tempoh sasaran sehingga tahun 2025, seterusnya memastikan pembangunan pesat dilaksana dengan kesan minimum kepada alam sekitar,” jelasnya.
Penggerak Daily