JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan mengambil tindakan tegas terhadap pemilik kenderaan berat yang menyebabkan kerosakan dan kekotoran sering berlaku di jalan-jalan protokol bawah pentadbirannya.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, selain kompaun, pihaknya juga akan melaksanakan operasi bersepadu bersama agensi-agensi lain bagi menangani permasalahan berkenaan.
Menurut beliau, antara agensi tersebut termasuklah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) bertujuan memastikan jalan protokol dalam keadaan elok sepanjang masa.
“MBJB telah mewarta beberapa jalan sebagai jalan protokol, namun pihaknya mendapati berlaku banyak kerosakan dan kekotoran di jalan protokol termasuk jalan di sekitar pusat bandar yang berpunca daripada kenderaan berat.
“Jalan-Jalan protokol ini hendaklah sentiasa berada dalam keadaan
terbaik daripada segi infrastruktur, kebersihan dan juga keceriaan landskap.
“Namun kebelakangan ini, banyak berlaku kerosakan berpunca daripada kenderaan berat muatan yang membawa pasir, simen dan bahan tapak binaan di jalan-jalan berkenaan,” katanya.
Tambah Mohd. Noorazam, pihaknya sedia maklum dengan pelbagai projek pembangunan yang sedang pesat dilaksana di kawasan pusat bandar, namun peraturan tetap perlu dipatuhi.
“MBJB menyeru supaya pihak berkaitan mematuhi segala peraturan yang ada termasuk dalam menjaga kebersihan dan juga mematuhi tempoh waktu penggunaan jalan protokol yang telah ditetapkan.
“Jalan protokol adalah jalan yang disifatkan sebagai jalan utama dalam suatu kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menghubungkan jaluran jalan yang lain di suatu kawasan.
“Penguatkuasaan terhadap
jalan protokol boleh diambil dengan cara mewartakan jalan-jalan itu bagi pengehadan atau sekatan penggunaan kenderaan-kenderaan pada jalan berkenaan.
“Penetapan jalan protokol dibuat di peringkat negeri selaras dengan Jadual Ke-9 Para 6 Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Mohd. Noorazam turut berharap penduduk Johor Bahru dapat menyalurkan aduan berkaitan hal berkenaan menerusi talian am MBJB di 07-2198000, talian bebas tol 1300-88-0146 atau menerusi Whatsapp di 019-7788212.
Penggerak Daily