JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah membelanjakan sehingga RM36 juta untuk melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan persediaan mengelak kejadian banjir di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 16 lokasi ‘hotspot’ banjir, khususnya apabila waktu hujan.
Katanya, peruntukan itu melibatkan kerja-kerja yang telah dilaksanakan pihaknya bermula Oktober tahun lalu sehingga kini.
“MBJB telah melaksanakan kerja-kerja penggalian kolam takungan banjir di 16 lokasi bermula Oktober 2023 hingga kini dengan kos RM7.5 juta termasuklah di Pangsapuri Larkin Idaman; Jalan Merah, Taman Pelangi; Taman Tasik Merdeka; Taman Suria Muafakat; Taman Setia Indah; Bakar Batu; Taman Kempas Indah dan lain-lain lagi.
“Selain itu, MBJB juga melaksanakan kerja penyelenggaraan sistem perparitan utama dan anak sungai dengan kos RM6 juta setahun. Ini tidak termasuk kerja pembaikan struktur di kawasan sebanyak RM12.5 juta.
“Kesemua kerja ini dilaksanakan secara konsisten bagi mengurangkan risiko kejadian banjir kilat di bandar raya Johor Bahru,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Noorazam turut memberitahu, PBT tersebut telah mengeluarkan 93 notis dan 252 kompaun kepada pemilik restoran yang melakukan kesalahan mengalirkan air cucian dan sisa makanan ketempat awam.
“Manakala sebanyak 36 kompaun pula dikeluarkan atas kesalahan meletakkan gerai di atas kaki lima premis perniagaan.
“Tindakan ini diambil selepas pemeriksaan dibuat terhadap 1,365 buah premis restoran,” jelasnya lanjut.
Penggerak Daily