JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan memperuntukkan RM7.5 juta untuk pemasangan pam air automatik selain menambah dan menaik taraf rumah pam air di sekitar bandar raya ini dalam usaha menangani masalah banjir kilat.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, dua unit pam automatik akan dipasang di Kampung Pasir untuk menggantikan pam manual sedia ada dengan kos RM3 juta.
Menurut beliau, projek berkenaan dijangka akan siap menjelang Ogos tahun depan.
“MBJB juga akan menambah dan menaiktaraf rumah pam Sungai Segget, sistem pam Masjid Kolam Ayer dan sistem pam Surau Kampung Tambatan dengan kos keseluruhan RM4.5 juta.
“Usaha ini diambil setelah MBJB mengenal pasti antara punca banjir kilat disebabkan sistem pam air sedia ada tidak berfungsi dengan sempurna sewaktu hujan lebat dan air pasang,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB, di sini hari ini.
Pada 20 Oktober lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan kekesalan baginda terhadap sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah di dalam longkang, parit dan sungai hingga menjejaskan saliran air terutamanya pada musim hujan di kawasan bandar raya ini.
Titah baginda, siasatan MBJB mendapati banjir kilat yang melanda kawasan pusat bandar ini pada bulan lalu berpunca akibat sistem saliran tersumbat disebabkan sampah sarap dan sisa binaan.
“Ia berpunca daripada sikap segelintir masyarakat yang gemar membuang sampah ke dalam sungai, parit dan longkang. Apabila turunnya hujan dalam jumlah yang besar dan tempoh yang lama, maka banjir kilat pasti tidak dapat dielakkan,” titah baginda.
Sementara itu, Mohd. Noorazam turut memberitahu, MBJB akan menambah bilangan perangkap sampah mesra alam atau ‘CDS Gross Pollutant Traps’ di tiga lokasi baharu tahun depan sebagai usaha berterusan menangani masalah banjir kilat.
“Kawasan terlibat adalah di parit utama Taman Tampoi Utama, Taman Johor dan Jalan Abdul Samad dengan anggaran kos RM600,000.
“Perangkap sampah itu juga berfungsi untuk mengurangkan pencemaran sampah sarap di laluan saliran air, meningkatkan tahap kebersihan air sungai, mengelakkan punca wabak penyakit serta mengurangkan penggunaan tenaga manusia.
“Langkah ini bagi memastikan kebersihan sungai dan saliran dalam bandar raya terus terjamin,” ujarnya.
Tambah beliau, pihaknya juga akan melaksanakan Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Sungai Tebrau yang merupakan antara sungai utama di bandar raya ini untuk memastikan ekosistem sungai itu dipelihara.
“Kawasan liputan lembangan Sungai Tebrau adalah seluas 18,955 hektar iaitu 75 peratus daripada luas keseluruhan lembangan sungai,” tambahnya.
Penggerak Daily