JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah merekodkan tunggakan cukai harta sebanyak RM268 juta sepanjang tahun lalu.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman sehubungan itu berkata, pihaknya akan meningkatkan operasi penguatkuasaan di kawasan-kawasan kediaman yang dikenalpasti.
Katanya, antara kawasan itu termasuklah kawasan kediaman mewah seperti Country Garden Danga Bay dan R&F Tanjung Puteri.
“Antara kawasan lain yang turut menjadi tumpuan adalah Kawasan Perindustrian Tampoi, Bandar Baru Permas Jaya, Stulang, Taman Bayu Puteri, Taman Setia Tropika dan Taman Megah Ria.
“Jenis pegangan yang terlibat dengan tunggakan tertinggi adalah jenis pemerdagangan iaitu 68 peratus dan merangkumi apartment servis dan juga unit kedai pejabat, manakala kedua tertinggi adalah perumahan sebanyak 23 peratus dan perindustrian tiga peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Ibu Pejabat MBJB, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Mohd. Noorazam menyeru pemilik harta untuk menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan melunaskan tunggakan cukai harta mereka.
“MBJB juga sentiasa terbuka untuk mengadakan perbincangan serta rundingan sekiranya pembayar cukai berdepan masalah dalam menyelesaikan tunggakan tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa pihaknya telah mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM425.07 juta sepanjang tahun lalu, kurang 10 peratus daripada jumlah disasarkan iaitu 471.75 juta.
“Kutipan hasil itu terdiri daripada cukai MBJB sebanyak RM315.81 juta, hasil bukan cukai RM73.01 juta dan terimaan bukan hasil sebanyak RM36.25 juta.
“Manakala jumlah keseluruhan perbelanjaan MBJB tahun lalu adalah sebanyak RM378.62 juta. Oleh itu lebihan kewangan MBJB bagi tahun 2022 adalah berjumlah RM46.45 juta,” jelasnya.
Penggerak Daily