JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) akan menambah baik infrastruktur awam di sekitar bandar raya ini khususnya kawasan pusat bandar termasuklah melibatkan kemudahan laluan pejalan kaki.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, langkah itu merupakan sebahagian aspek yang diberi perhatian sempena Tahun Melawat Johor 2026 dan inisiatif Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Menurut beliau, pembangunan baharu akan mengambil kira bukan sahaja laluan pejalan kaki, tetapi juga kemudahan orang kurang upaya (OKU) dan laluan basikal.
“Manakala bagi pembangunan sedia ada termasuklah di kawasan pusat bandar Johor Bahru, kita akan naik taraf laluan pejalan kaki. Ini penting kerana Johor Bahru akan menjadi tumpuan masyarakat antarabangsa termasuk pelancong.
“Jadi penting untuk kita tingkatkan aspek infrastruktur bagi menjayakan inisiatif yang diusahakan kerajaan negeri dan juga kerajaan persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Menara MBJB, di sini hari ini.
Mohd. Haffiz berkata, pusat bandar Johor Bahru bukan sahaja ibu negeri tetapi ia juga merupakan antara aset utama negeri ini, oleh itu penambahbaikan infrastruktur perlu dibuat.
“Kempen Johor Bersih yang diilhamkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan diteruskan kerana kita mahu Johor Bahru menjadi destinasi tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan MBJB tidak mempunyai perancangan untuk mengubah syarat sedia ada berkaitan pengeluaran lesen penjualan alkohol seperti dilakukan Majlis Bandaraya Ipoh di kawasan majoriti Muslim.
Mohd. Haffiz memberitahu, pengeluaran lesen untuk penjualan alkohol berada di bawah bidang kuasa Pejabat Daerah.
“Peranan MBJB lebih kepada memberikan pendapat sama ada lokasi tersebut sesuai untuk penjualan alkohol dengan aspek diambil kira termasuk sama ada ia berada di luar radius 200 meter dari kawasan perumahan, institusi pendidikan serta rumah ibadat,” jelasnya.
Penggerak Daily