JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah menerima permohonan melibatkan 50 lokasi tapak penganjuran Bazar Ramadan dan juga Bazar Aidilfitri di kawasan pentadbirannya, tahun ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman berkata, permohonan itu melibatkan 43 lokasi Bazar Ramadan; tiga lokasi Bazar Ramadan dan Aidilfitri serta empat Bazar Aidilfitri.
Menurut beliau, 50 tapak bazar berkenaan membabitkan sejumlah 2,793 petak peniaga.
“MBJB akan memanggil penganjur dalam masa terdekat untuk diberikan Taklimat Pelesenan dan Kebersihan Bazar Ramadan dan Aidilfitri.
“Kami juga menyeru semua penganjur agar menjaga kebersihan kawasan tapak bazar, mendapatkan suntikan anti typhoid yang sah, amalkan pengendalian makanan bersih serta meninggalkan kawalan lalulintas,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBJB di Ibu Pejabat MBJB, di sini hari ini.
Sementara itu, Mohd. Noorazam turut memberitahu, pihaknya telah menyediakan ruang dan memberikan kebenaran kepada penggiat seni mural dan grafiti untuk menunjukkan bakat mereka di sekitar bangunan rumah kedai Jalan Trus, di sini.
Menurut beliau, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan masalah vandalisme di pusat bandar dengan memberikan platform dan saluran yang betul dalam penghasilan seni grafiti dan mural.
“Namun begitu, MBJB mensyaratkan agar setiap grafiti dan mural dihasilkan perlulah bertemakan kepada sejarah dan warisan Johor Bahru agar dan tidak mengandungi unsur provokasi atau melanggar sensitiviti masyarakat.
“Sebelum ini, MBJB telah mengambil tindakan mengecat semula dinding dan lokasi seni grafiti dan mural yang dirasakan tidak bersesuaian,” ujarnya.
Penggerak Daily