Categories
Berita Budaya pembangunan Pendidikan

MCMC JADI JAMBATAN ANTARA MURID DAN GURU

COVID-19 bagai badai mengubah pantai. Wabak ini bukan saja memberi kesan kepada kesihatan, bahkan kepada ekonomi dan memaksa kita menjalani hidup dengan norma baharu.

Salah satu perubahan terbesar ekoran wabak ini ialah struktur Pembelajaran dan Pendidikan (PdP) ekoran penutupan sekolah bagi mengekang tersebarnya wabak ini. Pembelajaran dalam kelas kini diubah kepada pembelajaran atas talian, sepenuhnya.

27 Mei 2020, Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan semua aktiviti PdP hendaklah dilaksanakan secara atas talian sehingga 31 Disember 2020. Semua aktiviti PdP atas talian tidak dibenarkan kecuali beberapa kategori pelajar yang berkeperluan pulang ke kampus secara berperingkat bagi melaksanakan PdP dengan SOP yang telah ditetapkan.

Perubahan drastik akibat wabak ini memaksakan pelajar dan guru/pensyarah menggunakan pelbagai aplikasi seperti Whatsapp, Zoom, Youtube dan beberapa aplikasi lain asalkan PdP dapat dijalankan tanpa perlu bertemu secara fizikal.

Tentunya, perubahan mencabar ini menuntut komitmen yang lebih bagi kedua-dua pihak – guru dan pelajar. Bagi guru atau pensyarah yang tidak mesra teknologi atau media baharu, keadaan ini menambahkan lagi kekangan dalam usaha menyampaikan ilmu.

Kepayahan guru dan pelajar meneruskan PdP ini bukan hal enteng, namun turut menjadi perhatian kerajaan dalam usaha mempersiapkan generasi akan datang, walaupun terpaksa berdepan dengan pandemik seperti badai ini.

Walaupun tahap capaian internet masyarakat Malaysia agak tinggi – menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, 81.2 peratus masyarakat Malaysia menggunakan internet pada 2018 dan 84.2 peratus pada 2019 – namun Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tetap meneruskan usaha merapatkan jurang digital secara holistik. Tentunya, langkah ini berupaya mendorong pemerkasaan PdP secara atas talian.

Dalam usaha meningkatkan capaian internet, MCMC bergerak cergas. Sehingga Jun 2020 sahaja, sebanyak 2,360 menara komunikasi telah siap dibina dan 280 menara masih dalam peringkat pelaksanaan. Dalam tempoh yang sama juga, sejumlag 5,348 alat pemancar komunikasi telah dinaiktaraf kepada 3G dan 4G.

Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, MCMC telah melaksanakan projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) dan projek Jalur Lebar Luar Bandar (RBB) yang menyediakan kemudahan jalur lebar berkelajuan tinggi di kawasan pinggir bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Sehingga Jun lalu, 639,676 sambungan telah tersedia, manakala 34,781 sambungan masih dalam peringkat pelaksanaan yang dijangka siap secara berperingkat pada tahun ini.

MCMC juga menubuhkan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi menyediakan infrastruktur telekomunikasi yang lebih baik. Menurut MCMC, melalui JENDELA kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM500 juta pada 2021 bertujuan memastikan kesalinghubungan 430 sekolah di seluruh negara meliputi semua negeri.

Bagi 2021 dan 2022, MCMC akan memperuntukkan sebanyak RM7.4 bilion bagi memperluaskan perkhidmatan jalur lebar terutamanya di kawasan luar bandar.

Walaupun pandemik ini membawa 1001 masalah kepada dunia, namun hikmahnya ialah dapat mempercepatkan lagi proses pendigitalan dalam kalangan masyarakat untuk bersaing dalam revolusi industri 4.0. Tentunya, tanggungjawab ini digalas oleh MCMC untuk mewujudkan masyarakat digital dan berdaya saing.

PenggerakDaily

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *