Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) menyambut baik perutusan tahun baharu ‘Tahun 2021 Mara Ke Hadapan’ Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dan mengesahkan komitmennya untuk melaksanakan perubahan yang ketara dalam model operasi dan budaya rakyat, memberi tumpuan kepada Ketelusan, Kebertanggungjawaban dan Integriti.
Pengerusi MDEC Datuk Wira Dr Rais Hussin berkata pembentukan semula MDEC termasuklah membawa masuk tenaga kerja luar biasa dengan pendekatan dan pemikiran baharu.
Katanya penambahan baharu yang akan datang akan menambah baik inisiatif MDEC untuk mengembangkan ekonomi digital negara, terutamanya dalam menghadapi gangguan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan peluang dalam norma baharu.
“MDEC menyokong sepenuhnya hala tuju menteri untuk maju pada 2021 dengan pola pemikiran baharu yang memberi tumpuan kepada Ketelusan, Kebertanggungjawaban dan Integriti. Agenda ‘Pembentukan Semula’ organisasi penting untuk menyuntik idea, semangat dan kemahiran baharu.
“Jika kita mahu merealisasikan visi Malaysia 5.0 dan menjadikan Malaysia sebagai Nadi Digital ASEAN, perlu terdapat anjakan paradigma dalam pendekatan kita,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata revolusi industri keempat (4IR) mempunyai kekuatan untuk membawa masyarakat ke era maklumat – Malaysia 5.0 seperti yang dinyatakan – iaitu masyarakat berada di pusat teknologi dan data tidak berpusat dalam kawalan penciptanya untuk melaksanakan inovasi dan malah, pengewangan.
“Dengan integrasi teknologi 4IR yang mendalam di setiap lapisan masyarakat; individu, industri, kerajaan dan persekitaran, kita dapat mendemokrasikan proses pewujudan kekayaan kembali kepada rakyat (melalui kekuatan AI, blockchain dan fintech yang tidak berpusat).
“Kami berharap misi ini untuk merealisasikan Malaysia 5.0 akan menjadi langkah penting untuk membawa ekonomi digital kepada rakyat, dan berkongsi kemakmuran untuk semua pada tahun 2021 dan seterusnya,” katanya.
Susulan penstrukturan semula, katanya MDEC kini memberi tumpuan kepada empat teras utama — Bakat Digital, Perniagaan Digital, Pelaburan Digital dan MDEC Digital — untuk memacu capaian digital berimpak tinggi dan hasil untuk masyarakat dan ekonomi negara.