Categories
Berita Budaya Sejarah

MELAKA TIDAK ABAI TINGGALAN SEJARAH

Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan perhatian kepada produk-produk pelancongan di Melaka bagi memastikan peninggalan sejarah tidak terabai serta dapat dipulihara.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia penting supaya nilai sejarah ini dapat dipertontonkan kepada generasi akan datang dan sebarang kerosakan mahupun kedaifan sesuatu peninggalan, boleh dipanjangkan kepada pihak berkenaan agar ia dibaik pulih dan tidak terbiar.

Menurutnya, setakat ini Jabatan Warisan Negara memperuntukkan kira-kira RM50,000 untuk kerja-kerja baik pulih Perigi Hang Tuah yang terletak di Duyong supaya terus menarik kedatangan pelancong, pada masa sama bersedia menerima cadangan penduduk untuk mewartakan tempat menarik yang boleh dijadikan produk pelancongan baharu di kawasan berkenaan.

Katanya, pemimpin kawasan yang diberikan tanggungjawab mewakili penduduk, disarankan sering turun padang agar sebarang permasalahan yang membabitkan produk pelancongan seperti kerja-kerja baik pulih dapat disalurkan dengan segera.

“Ada yang memaklumkan kepada saya dari sudut pelancongan apa yang perlu diperbaiki dan mungkin ada produk- produk pelancongan perlu diberikan perhatian jadi kaedah turun padang seperti ini adalah lebih baik.

“Contoh di sini banyak tempat-tempat menarik boleh dijadikan produk pelancongan. Saya harap semua perkara dapat dimaklumkan kepada saya untuk dimajukan dan seperti Perigi Hang Tuah telah disalurkan untuk membaiki struktur perigi itu,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih di Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, di sini, hari ini.

 

Sumber: Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *