Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri telah disahkan pulih sepenuhnya daripada Covid-19.
Zulkifli dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya hari ini berkata beliau telah dibenarkan keluar dari wad pada petang ini selepas disahkan positif wabak itu pada 5 Oktober lepas.
“Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua.
“Selawat dan salam ke atas Nabi, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga Hari Kebangkitan…Segala puji bagi Allah yang mana dengan nikmatnya sempurna segala kebaikan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menasihatinya untuk berehat di rumah sehingga selesai perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini sehingga 27 Oktober depan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.
Zulkifli berkata buat masa ini beliau disaran untuk tidak bertemu sesiapa namun memberitahu pihak yang mahu berhubung dengannya boleh berbuat demikian melalui sidang video sahaja.
“Saya akan terus memantau semua gerak kerja dan laporan agensi-agensi agama di bawah tanggungjawab saya dari rumah…Apa-apa makluman umum akan disampaikan melalui media sosial saya,” tambahnya.
Memandangkan PKPB baharu sahaja bermula, Zulkifli seterusnya berkata fokus utamanya pada masa ini adalah untuk menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada kelompok sasar khususnya di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu pada masa sama berterima kasih kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, ahli jemaah menteri dan para ulama dunia yang menghantar pesanan mesej kepada beliau selain menghargai setiap doa dititipkan oleh rakyat Malaysia kepadanya.
“Tidak lupa (terima kasih) kepada Menteri Kesihatan, Ketua Pengarah Kesihatan dan warga KKM khususnya di Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban,” katanya.
Selain itu, beliau juga berdoa kepada rakyat Malaysia yang dijangkiti Covid-19 agar segera sembuh seterusnya dapat kembali menjalani kehidupan bersama keluarga tercinta.
Sumber: MalaysiaNow