Oleh: Editorial Penggerak Daily
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menggesa pemain pelancongan supaya memohon skim Pembiayaan Pelancongan (PTF) Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bernilai RM1 bilion untuk kekal kompetitif dalam norma baharu ketika pandemik Covid-19.
“Skim itu bertujuan untuk mengekalkan keupayaan dan meningkatkan daya saing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat mikro tempatan selain membantu mereka yang terkesan akibat pandemik berkenaan”, kata Menteri Pelancongan, Nancy Shukri.
“PKS boleh menghubungi dan memohon dengan 12 institusi kewangan yang menyertai skim ini termasuk Maybank Islamic Berhad, Bank Simpanan Nasional, Public Bank Berhad dan SME Bank.
“Skim itu menawarkan pembiayaan bernilai sehingga RM75,000 bagi syarikat mikro dan sehingga RM300,000 bagi PKS dengan faedah 3.5 peratus setahun bagi tempoh tidak lebih daripada tujuh tahun,”
PKS dan syarikat mikro yang memenuhi kriteria kelayakan SME Corp Malaysia, atau yang berlesen dan berdaftar di bawah kementerian itu dalam sektor pelancongan teras dan berkaitan pelancongan layak memohon skim pembiayaan itu.
Nancy berkata, kerajaan mahu membantu pemain industri yang sedang bergelut selain mengelakkan pemberhentian pekerja disebabkan tekanan ekonomi dan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Apa yang kita mahu lakukan sebagai kerajaan adalah untuk melihat lebih ramai orang menambah pendapatan mereka. Selain daripada itu, kita mahu industri mengekalkan pekerja mereka (bekerja) kerana anda boleh lihat ada sesetengah orang cuba untuk membuang pekerja mereka.
“Kami tidak mahu itu berlaku, itulah sebabnya program Subsidi Upah diperkenalkan menerusi Program Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) untuk membantu dan memastikan orang ramai mempunyai pekerjaan,” katanya.
Sumber: Bernama