JOHOR BAHRU: Sempena sambutan ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-64 tahun ini, masyarakat diseru untuk turut memerdekakan minda mereka daripada sikap kurang peka dan prihatin kepada kebersihan alam sekitar.
Pengurus Besar Korporat SWM Environment Sdn. Bhd., Mohd. Norlisam Mohd. Nordin berkata, perubahan positif perlu dibuat dalam aspek pengurusan sisa pepejal secara berhemah, melaksanakan pengasingan sampah di punca dan kitar semula.
Katanya, perubatan kecil sedemikianlah memainkan peranan besar dalam penjagaan kebersihan alam sekitar.
“SWM Environment memainkan peranan penting dalam mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan amalan kitar semula dan penjagaan kebersihan terutamanya sewaktu pandemik Covid-19.
“Cabaran utama sejak 64 tahun Kemerdekaan ini adalah membentuk pemikiran rakyat yang merdeka dari sikap tidak ambil peduli tentang kebersihan serta manfaat dari amalan kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, peningkatan jumlah janaan sisa pepejal setiap tahun amat membimbangkan kerana ia memberi kesan besar kepada ekosistem negara dan menelan kos perbelanjaan tinggi untuk melupuskan sisa pepejal.
“Sehubungan itu, pendidikan dan kesedaran awam tentang kepentingan amalan pengasingan sisa di punca dan kitar semula penting supaya dapat menyumbang kepada pengurangan janaan sisa pepejal yang perlu dilupuskan di tapak pelupusan.
“Jumlah kes sampah longgok dan pembuangan secara haram di kawasan sungai, bahu jalan, jalan mati dan lain-lain kawasan yang tersembunyi turut meningkat.
“Kesan daripada perbuatan ini bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran alam sekitar malah menganggu pemandangan dan boleh menjadi faktor penularan wabak penyakit kepada masyarakat setempat,” ujarnya.
Mohd. Norlisam turut memberitahu, sehubungan itu pihaknya berharap masyarakat akan lebih prihatin terhadap pemeliharaan alam sekitar dan kepentingan amalan kitar semula dalam memastikan pertumbuhan dan kestabilan ekonomi yang mampan.
“Impak daripada kelestarian alam juga bakal menentukan masa depan negara serta generasi muda akan datang,” jelasnya lagi.
Penggerak Daily