JOHOR BAHRU: Anggota kumpulan Senario yang lain tidak tahu bahawa rakan mereka, Hamdan Ramli mempunyai penyakit sebelum pelawak itu terpaksa ditidurkan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini.
Azlee Jaafar, 54, atau lebih mesra dengan panggilan Azlee memberitahu, mereka semua terperanjat apabila dimaklumkan ahli keluarga Hamdan bahawa dia terjatuh di bilik hotel penginapan mereka.
Sehubungan itu, Azlee memohon semua peminat kumpulan itu untuk mendoakan agar Hamdan kembali pulih dan dapat menghiburkan masyarakat seperti biasa.
“Kami ada showcase di Johor Bahru, program berhibur sambil beramal bagi membantu artis-artis veteran yang sakit seperti Mat Sentol. Ketiga Hamdan tiba 30 Disember lalu, dia masih kelihatan sihat dan ceria, kami makan malam bersama-sama.
“Tetapi keesokan paginya, ahli keluarga memaklumkan dia terjatuh dan tidak berapa sihat, jadi kami nasihatkan agar jangan datang ‘rehearsal’ dan berehat sahaja.
“Namun pada pukul 5 petang, kami dimaklumkan isterinya bahawa Hamdan dimasukkan ke hospital dan keadaannya kritikal. Kami bagaimanapun terpaksa meneruskan persembahan dan datang melawatnya hari ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan HSA, di sini hari ini.
Tambah Azlee, kejadian itu berlaku ketika mereka menyambut ulang tahun ke-27 kumpulan itu, semalam.
“Tahun ini kami merancang membuat penggambaran filem Senario Legend termasuk Lan Pet Pet. Perkhabaran Hamdan ditidurkan adalah perkara yang sedih sekali bagi kami. Ini semua ujian, kami hanya mampu berdoa dan berharap rakyat Malaysia khususnya peminat kumpulan Senario untuk berdoa agar ada keajaiban dan dia kembali sihat seperti biasa.
Selain Azlee, turut hadir melawat Hamdan di HSA di sini termasuklah Pak Ya, Apek, Wahid dan Yasin.
Sementara itu, Pak Ya atau nama sebenarnya Illya Buang, 45, pula memberitahu, kemungkinan Hamdan berasa penat setelah mengharungi perjalanan agak lama.
“Hamdan sekeluarga dari Ipoh, Perak sebelum ke Jenjarum di Selangor untuk menghantar anaknya, kemudian baharu mereka bergerak ke Johor Bahru. Perjalanan selama 12 jam dari Ipoh ke Johor Bahru sangat panjang dengan jalan yang sesak ketika itu.
“Keluarga Hamdan juga tiada sedara mara di Johor, jadi mereka mengharapkan kami. Saya juga harap ada pihak yang sudi membantu memudahkan urusan keluarga Hamdan di sini,” jelasnya.
Penggerak Daily