JOHOR BAHRU: Kerajaan diminta untuk membaiki segera kerosakan yang berlaku di Lebuh Raya Pasir Gudang di sini kerana keadaan permukaannya yang semakin teruk.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, pihaknya berasa bimbang keadaan tersebut akan membahayakan keselamatan pengguna lebuh raya berkenaan, khusus ketika musim hujan ketika ini.
Menurut beliau, pihaknya juga meminta perhatian daripada kerajaan negeri serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membantu menyelesaikan isu tersebut.
“Sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, saya mohon dengan jari sepuluh kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru, Pegawai Daerah Johor Bahru, Exco kerajaan Johor, Menteri Kerja Raya dan akhir sekali Perdana Menteri.
“Tolonglah perbaiki keadaan lebuhraya Pasir Gudang sekarang yang semakin teruk. Keadaan lebuh raya ini terutama dari arah Perling ke Pasir Gudang dan susur ke Jalan Tebrau sangat teruk.
“Keadaan lebuhraya yang buruk berlubang serta berbahaya bukan di situ sahaja tetapi di banyak tempat lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan memberitahu, masalah tersebut sudah disuarakan pihaknya sejak 2018 dalam Parlimen selain dalam media cetak termasuk media sosial miliknya.
“Namun, masalah ini tidak pernah selesai umpama mencurah air di daun Keladi. Kalau semua agensi kerajaan dan pemimpin tak ambil peduli terhadap nasib penduduk Pasir Gudang yang terkorban mati di lebuh raya ini yang kini seperti perangkap maut, maka, saya menyusun jari memohon Perdana Menteri dengarlah rayuan saya ini. Tolonglah kami,” ujarnya.
Pada 3 Januari lalu, Hassan memberitahu, proses menaik taraf lebuh raya berkenaan yang melibatkan kos bernilai RM78 juta akan disambung semula tahun ini, namun sehingga kini masih tiada sebarang kerja-kerja dilakukan.
Penggerak Daily