Oleh: Editorial Penggerak Daily
Hari ini, termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan Mastercard bagi menyokong inisiatif digital yang digariskan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA).
Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, MoU itu akan menyempitkan jurang pengetahuan teknologi digital antara usahawan bandar dan luar bandar memandangkan mereka akan terdedah kepada pembayaran dan urus niaga digital.
“Impak pandemik COVID-19 telah dirasai seluruh lapisan masyarakat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mewakili 98.5 peratus kepada perniagaan di Malaysia serta pada asasnya, sebagai tulang belakang ekonomi negara”.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, menerusi kerjasama dengan Mastercard dan menggunakan kepakaran mereka untuk membangunkan infrastruktur pembayaran elektronik, MDEC berharap dapat menangani pelbagai masalah ekonomi dan sosial yang mendesak dengan menggunakan teknologi.
Ini termasuk bagaimana menghubungkan individu, komuniti dan perniagaan dengan lebih baik untuk menjadi rakyat Malaysia yang berkemahiran digital dan perniagaan dipacu digital tanpa mengira saiz di seluruh negara, katanya dalam ucapan pada majlis itu.
“Teknologi memainkan peranan penting untuk menyokong peralihan ke arah pembayaran tanpa tunai dan pada dasarnya, menambah baik perkhidmatan dan kemudahan,” kata beliau.
Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei, Perry Ong berkata Mastercard akan memudahkan inisiatif itu dan menurutnya PKS mungkin menerima mana-mana bantuan kewangan secara digital dalam satu kad.
“Mastercard akan turut membantu PKS menerusi alat dan perkhidmatan itu dan memudahkan e-dagang dalam talian serta gerbang pembayaran. Mastercard juga akan menyediakan platform agar data daripada PKS boleh dikongsi dengan MDEC dan bank.
“Melalui data berkenaan, institusi kewangan boleh mengetahui bagaimana kukuhnya sesebuah perniagaan. Ini boleh membantu PKS untuk menerima pinjaman daripada bank bagi pertumbuhan dan pengembangan pada masa depan,”katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian itu.
Sumber: Bernama