Perdana Menteri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan portal MalaysiaBiz yang berfungsi sebagai pusat setempat bagi memudahkan pendaftaran perniagaan dan permohonan lesen dalam talian secara efisien.
Beliau berkata portal yang dibangunkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) itu bertujuan mewujudkan persekitaran yang mesra peniaga bagi meningkatkan daya saing negara serta memacu pertumbuhan ekonomi setempat.
“Kepada para usahawan kecil dan sederhana sekalian, manfaatkanlah peluang ini untuk mendaftar dan memohon lesen perniagaan masing-masing melalui portal MalaysiaBiz.
“Marilah kita sama-sama menjayakan inisiatif ini dan semoga segala urusan saudara dan saudari dapat dipermudahkan,” katanya dalam ucapan semasa melancarkan portal itu yang disiarkan di laman Facebook Mampu.
Perdana menteri berkata portal itu dibangunkan berikutan kerajaan menyedari pentingnya platform digital dalam bidang perniagaan dan sumbangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada ekonomi negara.
Muhyiddin berkata pada tahun lepas, PKS menyumbang sebanyak 38.9 peratus kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) berbanding 38.3 peratus pada 2018 dan PKS disasarkan menyumbang sebanyak 45 peratus kepada KDNK menjelang 2025 serta 50 peratus pada 2030.
“Oleh itu, langkah-langkah untuk menjana pertumbuhan PKS akan terus diberi keutamaan melihat kepada trend pembelian dalam talian pada hari ini yang menunjukkan potensi PKS untuk berkembang secara pesat,” katanya.
Menurut perdana menteri, Belanjawan 2021 yang dibentangkan baru-baru ini juga memperlihatkan kelangsungan perniagaan menjadi satu daripada tiga matlamat utama belanjawan berkenaan.
Katanya, perhatian khusus diberikan kepada PKS menerusi bantuan dana, latihan, peralatan digital dan geran, antaranya peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Dis 2023.
Muhyiddin berkata sebanyak RM150 juta diperuntukkan bagi program latihan dan bantuan penjualan serta peralatan digital kepada 100,000 usahawan tempatan di bawah kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro.
Sebanyak RM4.6 bilion turut diperuntukkan bagi memperkasakan usahawan Bumiputera dan penyediaan pembiayaan mikro kredit khas melalui Tekun Nasional, Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan AgroBank yang memberi manfaat kepada usahawan wanita.
“Kesemua usaha ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melonjakkan PKS dan konsisten dengan kerangka inisiatif-inisiatif dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini seperti Skim Pembiayaan PKS Penjana dan Geran Prihatin Khas satu dan dua untuk meringankan beban para peniaga,” katanya.
Portal MalaysiaBiz (https://malaysiabiz.gov.my) adalah sistem dalam talian yang mengintegrasikan 17 agensi kerajaan bagi membolehkan peniaga mendapatkan perkhidmatan dalam satu gerbang.
Portal itu adalah sebahagian daripada penambahbaikan penyampaian perkhidmatan awam ke arah kerajaan digital hasil kolaborasi MAMPU, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan SME Corporation Malaysia.
Sumber: MalaysiaNow