Kementerian Perpaduan mengenal pasti kebanyakan pengguna di platform media sosial gagal mendukung prinsip kelima Rukun Negara, iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata situasi itu antara lain memberi kesan negatif kepada negara, khususnya kepada pembangunan sosial dalam kalangan masyarakat.
Lebih membimbangkan, katanya, ramai pengguna media sosial dikenal pasti berselindung di sebalik profil palsu bagi memudahkan mereka mencetus provokasi atau melanggar undang-undang.
“Ekosistem (di media sosial) ini kurang sihat bagi pembangunan negara, sekali gus mencetuskan pelbagai ketegangan selain ramai yang hilang rasa hormat kepada orang atau bangsa lain.
“Justeru, orang ramai perlu menjadi ejen negara dengan mengenal pasti dan melaporkan mana-mana individu atau kumpulan yang menggunakan motif sedemikian kepada pihak berkuasa bagi tindakan lanjut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Perbincangan Meja Bulat Rukun Negara – Sambutan Ulang Tahun Ke-50 semalam.
Sumber: Berita Harian