KULAI: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan kerugian berjumlah RM1.34 bilion melibatkan kes-kes jenayah dalam talian sejak 1 Januari hingga 8 Disember, tahun lalu.
Timbalan Menteri, Teo Nie Ching berkata, jumlah tersebut direkodkan daripada sebanyak 33,235 kes yang dilaporkan kepada pihaknya sepanjang tempoh tersebut.
Menurut beliau, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak RM536 juta berbanding tempoh sama tahun terdahulu iaitu sebanyak RM804 juta.
“Kerugian yang direkodkan ini melibatkan enam modus operandi dengan jenayah pelaburan tidak wujud paling tinggi iaitu RM437 juta, diikuti jenayah e-dagang (RM383 juta); jenayah telekomunikasi (RM334 juta); jenayah e-kewangan (RM104 juta); jenayah ‘love scam’ (RM41 juta) dan jenayah pinjaman tidak wujud (RM39 juta).
“Jumlah kerugian ini direkodkan NSRC melalui mangsa yang membuat laporan ke talian 997. Saya percaya jumlah sebenar lebih tinggi kerana terdapat mangsa yang membuat laporan terus kepada pihak polis,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Desa Kulai, di sini hari ini.
Turut hadir, Timbalan Pengarah SWCorp, Rafidah Mohamed; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat SWM Environment, Norsida Taslim Duka dan Pengerusi KRT Taman Desa Kulai, Chan You You.
Nie Ching yang juga merupakan Ahli Parlimen Kulai turut memberitahu, pihaknya tidak menafikan masih terdapat ramai dalam kalangan rakyat negara ini yang terpedaya dengan pelbagai tipu helah sindiket penipuan dalam talian.
“Sebagai contoh jenayah pelaburan tidak wujud yang paling tinggi, saya faham salah satu cara untuk mengekalkan nilai matawang adalah dengan membuat pelaburan, tetapi buat semakan terlebih dahulu dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Jangan mudah terpedaya dengan pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga dua angka, atau sehingga lebih 20 peratus pulangan. Jika mereka hebat mengapa tidak berdaftar dengan SC, jadi nasihat saya kepada rakyat Malaysia adalah untuk berhati-hati kerana kebanyakan mangsa kehilangan semua duit simpanan mereka,” ujarnya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, Nie Ching memberitahu pihaknya bekerjasama dengan SWM Environment untuk menyantuni seramai 50 keluarga berpendapatan rendah sempena Sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina, tidak lama lagi.
Katanya, kesemua keluarga terbabit menerusi sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan juga wang tunai sebanyak RM100 masing-masing.
Penggerak Daily