JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berhasrat untuk menubuhkan ‘Johor Talent Development Council’ bagi menyediakan tenaga kerja berkemahiran untuk membantu Johor mencapai negeri maju menjelang 2030.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, inisiatif itu juga selari dengan pelaksanaan program ekonomi berimpak tinggi iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang sedang dirangka ketika ini.
Menurut beliau, JS-SEZ dijangka akan menyediakan sehingga 100,000 peluang pekerjaan berkemahiran dan berkualiti tinggi untuk rakyat negeri dan negara ini.
“JS-SEZ ini akan menjadi pemangkin, katalis untuk pembangunan ekonomi bukan sahaja di Johor tetapi juga di seluruh negara. Hasrat kita adalah untuk menjadikan negeri ini seperti Shenzen bagi rantau Asia Tenggara.
“Sehubungan itu, Johor mahu buat permohonan untuk ditubuhkan ‘Johor Talent Development Council’ yang dianggotai agensi kerajaan peringkat persekutuan dan negeri. Kita juga cadangkan Kementerian Sumber Manusia menjadi sekreteriat untuk jawatankuasa tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Pelancaran National Training Week (NTW) 2024 di Kolej Universiti Selatan, Skudai, di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor, Aznan Tamin.
Onn Hafiz turut memberitahu, pihaknya yakin visi menjadikan Johor sebagai sebuah negeri maju dapat dilaksanakan dengan kerjasama semua pihak, termasuk rakyat.
“Namun begitu, saya berharap rakyat negeri ini khususnya golongan muda dapat mempersiapkan diri dengan kemahiran diperlukan, timba ilmu pengetahuan, ‘reskilling’ dan juga ‘upskilling’.
“Kita berhasrat untuk melahirkan lebih ramai anak muda negeri ini yang mempunyai kemahiran dan mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal apabila tiba masanya kelak,” ujarnya.
Sementara itu, berhubung program berkenaan, NTW 2024 yang berlangsung selama seminggu bermula hari ini bertujuan untuk memupuk budaya pembelajaran sepanjang hayat dengan menyediakan kursus berimpak tinggi menerusi kerjasama agensi kerajaan dan swasta.
Penggerak Daily