JOHOR BAHRU: Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berharap rakyat negeri ini tanpa mengira latar belakang sama-sama mendoakan kesejahteraan dan keselamatan Johor termasuklah daripada ancaman bom.
Menurut beliau, ancaman diterima pusat beli belah, Mid Valley Southkey dan Hotel St. Giles Southkey semalam telah menimbulkan situasi panik kepada pengunjung.
“Saya telah meninjau ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri keadaan di sana. Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, keadaan di pusat beli-belah dan hotel adalah terkawal dan selamat untuk dikunjungi.
“Keseluruhan kawasan bangunan pusat beli-belah dan hotel telah diperiksa oleh unit pemusnah bom dan unit anjing pengesan (K9). Syukur Alhamdulillah, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang objek mencurigakan dan mengesahkan ia selamat untuk beroperasi seperti biasa,” katanya selepas melawat pusat beli belah berkenaan, di sini hari ini.
Sehubungan itu, Onn Hafiz mengucapkan terima kasih kepada pihak polis, bomba dan semua agensi terlibat dalam menjaga keselamatan negara serta orang awam.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar Negeri Johor terus terpelihara daripada sebarang ancaman mahupun insiden yang tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat mengesahkan ancaman bom diterima dua premis berkenaan adalah palsu.
Katanya, pengurusan premis berkenaan menerima panggilan telefon seorang lelaki dipercayai warganegara asing mendakwa telah meletakkan bom di pusat beli-belah dan hotel terbabit, semalam.
“Sepasukan 92 pegawai dan anggota termasuk dua unit anjing pengesan K9 telah digerakkan ke lokasi pada pukul 6.15 petang semalam sejurus laporan polis diterima.
“Hasil pemeriksaan hingga pukul 11.30 malam, tiada sebarang objek yang mencurigakan dikesan. Kawasan dilaporkan selamat dan boleh beroperasi seperti sedia kala. Walau bagaimanapun, polis akan terus berada di lokasi bagi menjalankan pemerhatian lanjut,” ujarnya.
Semalam, ribuan pengunjung dan pekerja sebuah pusat beli-belah dan hotel terbabit diminta keluar meninggalkan premis berkenaan selepas dimaklumkan tentang ancaman bom.
Terdahulu, tular beberapa keping gambar dan rakaman video di media sosial menunjukkan orang ramai berpusu-pusu keluar meninggalkan bangunan tersebut.
Penggerak Daily