Oleh: Editorial Penggerak Daily
Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menangkap 18 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia dalam operasi di persisiran pantai Johor melalui formasi Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div), malam semalam.
Pada mulanya, Anggota Pos Pemerhati Kompeni Alpha 1 RRD telah melihat sebuah bot pada jarak lebih kurang 500 meter dari pesisiran Pantai Batu Layar, Bandar Penawar, Johor sedang berlegar dan kemudiannya bot tersebut merapat ke pesisir pantai kira-kira jam 9.15 malam.
Hasil tindakan pantas kumpulan Quick Reaction Force (QRF) telah berjaya menangkap 18 orang PATI terdiri daripada 13 orang lelaki dan lima perempuan warga Indonesia berusia sekitar 24 hingga 43 tahun yang baru sahaja tiba untuk masuk ke Malaysia.
Antara barangan yang dirampas adalah 10 buah telefon bimbit serta wang tunai bernilai RM2,164.00 menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM3,964.00.
Kesemua PATI dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang dan pengendalian adalah mengikut SOP COVID-19 sebelum kesemuanya diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan COVID-19.
PenggerakDaily