PASIR GUDANG: Masyarakatnya Orang Asli Seletar di Kampung Teluk Jawa di sini memohon bantuan pihak berwajib khususnya Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk membantu melakukan kerja-kerja baik pulih di sekitar kediaman mereka.
Wakil masyarakat, Awie Mee, 39, memberitahu, selain keadaan kediaman yang semakin uzur, masyarakat perkampungan itu amat mengharapkan bantuan untuk membaiki titi yang menyambungkan kediaman mereka.
Menurut beliau, pihaknya telah menghantar surat permohonan bagi tujuan tersebut kepada Jakoa sejak lebih setahun lalu namun sehingga kini masih belum menerima jawapan balas.
“Keadaan kayu yang digunakan untuk pembinaan struktur titi berkenaan sudah usang dan jika dibiarkan ia dibimbangi akan mendatangkan kemudahan kepada penduduk setempat.
“Jadi kami amat berharap pihak berwajib dapat membantu dalam membina titi baharu menggunakan konkrit atau sekurang-kurangnya menukar kayu baharu yang lebih kukuh,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Tambah Awie, perkampungan orang asli yang sudah berusia lebih 100 tahun itu dihuni seramai 40 buah keluarga dengan majoriti daripada mereka bekerja sebagai nelayan.
Seorang lagi masyarakat Orang Asli di perkampungan itu, Aiman Majid, 35, pula memberitahu, pihaknya juga berharap kerajaan dapat membantu membaik pulih kira-kira 40 buah kediaman yang terdapat di kampung berkenaan.
“Majoriti daripada rumah di kampung ini dibina menggunakan kayu di atas laut dan kebanyakannya sudah usang dan terdapat pelbagai masalah.
“Selain dari atap yang bocor, ada juga dinding yang sudah pecah selain lantai kayu yang semakin usang, jadi kami berharap pihak kerajaan dapat tampil membantu melakukan kerja pembaikan sebelum berlaku sebarang perkara tidak diingini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim memberitahu, pihaknya sudah mengemukakan surat permohonan bantuan kepada Jakoa untuk mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf kehidupan masyarakat Orang Asli di kampung tersebut.
Menurut beliau, pihaknya menganggarkan peruntukan berjumlah kira-kira RM2 juta mencukupi untuk membaiki atau membina baharu kesemua 40 buah masyarakat Orang Asli serta pembinaan titi dan jalan raya baharu memasuki kampung berkenaan.
“Perkampungan Orang Asli daripada suku Seletar ini dibenarkan duduk atas tanah rizab kerajaan sejak sebelum negara merdeka lagi.
“Bagaimanapun kita khuatir ribut akan meroboh dan merosakkan rumah mereka jika keadaan semasa tidak dibaiki,” jelasnya ketika hadir menyampaikan sumbangan pakaian kepada penduduk kampung itu.
Penggerak Daily