JOHOR BAHRU: Kejadian banjir yang melanda bandar raya ini turut mengakibatkan pengusaha ternakan kambing tempatan, Osman Goat Farm mengalami kerugian sejumlah RM60,000.
Pengarah Urusannya, Osman Cheya Kutty, 51, berkata, nilai kerugian itu melibatkan kerosakan terhadap stok daging, produk susu dan makanan kambing yang disimpan di premisnya di Kangkar Tebrau, di sini.
Menurutnya, antara lain yang turut rosak akibat banjir itu termasuklah perkakasan elektrik dan perabot di pejabat serta surau.
“Premis ini dinaiki air dengan ketinggian 1.2 meter ketika kami sedang menyediakan bekalan makanan kepada 600 mangsa banjir di sekitar kawasan Kangkar Tebrau pada 11 pagi, dua hari lalu.
“Akibat kejadian, sebanyak 200 kilogram (kg) daging kambing tempatan dan biri-biri, 400 botol susu segar dan 60 beg palet makanan kambing yang setiap satunya seberat 50kg rosak ditenggelami air banjir.
“Kami tiada pilihan selain membuang kesemuanya kerana khuatir ianya telah dicemari kuman dan berbahaya untuk dijual,” katanya ketika ditemui pemberita, di premis perniagaannya, di sini hari ini.
Difahamkan, daging kambing tempatan segar di premis itu dijual pada harga RM60 sekilogram, manakala daging kambing biri-biri (RM50 sekilogram).
Sementara itu, palet dedak makanan kambing seberat 50 kg dijual pada harga RM52 dan sebotol 500 mililiter susu segar dijual pada harga RM8.
Katanya lagi, sejak menjalankan perniagaan itu pada 31 tahun lalu, ini merupakan kali kedua premis itu dilanda banjir hingga mengakibatkan kerugian besar, dengan kali terakhir berlaku pada tahun 2006.
“Pada 2006, kejadian banjir lebih teruk sehingga kami menanggung kerugian lebih RM100,000 selepas kira-kira 40 ekor kambing mati akibat lemas kerana ketika itu, kandang kambing berada di kawasan rendah.
“Selepas itu kami menempatkan kawasan kandang di tempat yang lebih tinggi bagi mengelakkan kerugian teruk setiap kali berlakunya banjir akibat limpahan air Sungai Tebrau yang berhampiran,” ujarnya lanjut.
Kejadian banjir dua hari lalu itu telah memaksa seramai 296 penduduk daripada 76 keluarga di kawasan Mukim Kangkar Tebrau dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bukit Mutiara selepas kediaman mereka dinaiki air.
Mereka yang terjejas merupakan penduduk dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau.
Penggerak Daily