ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri menerusi Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) sedang mengumpul maklumat pelbagai pihak dalam usaha menyelesaikan masalah trafik yang semakin meningkat, khususnya di kawasan bandar raya negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, antara agensi membantu termasuklah polis, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Menurut beliau, dapatan kajian tersebut akan dibentangkan dalam mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook pada 29 Februari ini.
“Di peringkat negeri, kita telah menubuhkan Jawatankuasa Penyiraman dan Pengurusan Trafik bagi menangani kesesakan beberapa bulan lalu, usaha ini turut mendapat sokongan Kementerian Pengangkutan (MOT).
“Selain mesyuarat bersama Menteri Pengangkutan, kita juga akan mengadakan mesyuarat bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan perkara sama pada 6 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) dan Pengusaha Teksi di Taman Nusantara Prima, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAJ, Abdul Malik Ismail dan Presiden Gabungan Persatuan Teksi Berdaftar Johor Bahru (GAPET), Wahid Mohd. Yasin.
Tambahnya, hasil perbincangan kedua-dua mesyuarat di Kuala Lumpur itu akan dikumpulkan sebagai draf perancangan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah trafik sebelum diangkat ke perbincangan peringkat Kabinet.
Berhubung MoU berkenaan, Mohamad Fazli memaklumkan ia bertujuan membantu pengusaha teksi di negeri ini meningkatkan pendapatan bulanan melalui medium pengiklanan.
“MoU ini rentetan kajian dibuat PAJ sebelum ini untuk membantu meningkatkan pendapatan pemandu teksi. Antara kaedah dipersetujui adalah untuk memasang stiker pengiklanan di badan-badan teksi di negeri ini.
“Namun sebagai permulaan, kita akan sasar kepada teksi di kawasan pusat bandar raya terlebih dahulu sebelum diluaskan ke kawasan-kawasan bersesuaian lain. Usaha ini selari dengan cadangan Tahun Melawat Johor 2026.
“Difahamkan teksi berdaftar di seluruh Johor adalah berjumlah 5,600 kenderaan, tetapi kita mula dengan 95 buah terlebih dahulu, kemudian kita akan tambah jumlah itu dari masa ke semasa sehingga ke tahun 2025, 2026 akan datang. Ini usaha jangka masa panjang,” jelasnya.
Menurut beliau lagi, usaha itu tidak meminggirkan pemandu teksi di luar bandar sebaliknya pelbagai faktor diambil kira termasuk kos sara hidup setempat, kawasan tumpuan pelancong serta kesesuaian produk iklan.
Penggerak Daily